arena

Kurang semangat berpasukan - Roslin

Oleh Ferzalfie Fauzi

BEKAS pemain negara, Roslin Hashim mengakui bahagian perseorangan lelaki yang beraksi di Piala Thomas, Bangkok masih mempunyai beberapa kekurangan.

Menurutnya, perseorangan lelaki yang beraksi kali ini masih lagi mengharapkan kepada kemampuan Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia serta Iskandar Zulkarnain Zainuddin selain menumpukan kepada pendedahan untuk kejohanan yang sama, dua tahun akan datang.

“Secara keseluruhan apa yang saya nampak semangat sepasukan agak kurang untuk skuad kali ini sekali gus memberi kesan kepada pemain yang turun beraksi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, permainan Zii Jia ketika bertemu Jonatan Christie (Indonesia) sangat jauh berbeza berbanding ketika mengalahkan Hans-Kristian Solberg Vittinghus (Denmark).

“Mengalahkan Vittinghus memang menakjubkan kerana perseorangan Denmark itu bukan calang-calang pemain. Zii Jia masih lagi boleh kejar selepas ketinggalan jauh. Sepatutnya tahap motivasi dia lebih tinggi selepas kemenangan berkenaan kerana keesokan harinya kita menentang Indonesia (suku akhir).

“Bagaimanapun, ketika menentang Jonatan permainannya menjadi lain, sepatutnya keyakinannya semakin bertambah. Masuk set ketiga, tahap fizikalnya semakin menurun sehingga membuatkan saya tertanya-tanya adakah dia tidak cergas. Berdasarkan permainan kedua-dua pemain lebih kurang sama, kerana bersandarkan kepada corak menyerang,” kata Roslin.

Mengenai Iskandar Zulkarnain pula, Roslin mengakui bahawa pemain perseorangan ketiga negara itu masih lagi agak kelam-kabut terutama ketika menentang Jan O Jorgensen (Denmark).

“Maknanya secara keseluruhan kedua-dua pemain itu kalau dari segi semangat sepasukan memang nampak kurang. Melalui pengalaman saya yang sudah beraksi di beberapa kejohanan Piala Thomas kelemahan itu mampu disaksikan walaupun melalui televisyen saja.

“Mereka kurang semangat melawan tapi hanya bersandarkan kepada corak permainan saja. Ia memang berbeza kalau mereka ada sedikit semangat tambahan,” katanya.

Selain Chong Wei, Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain, skuad Piala Thomas kali ini turut menampilkan seorang lagi pemain muda, Leong Jun Hao yang hanya turun beraksi ketika menentang Algeria dalam saingan peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 6:45pm
d