arena

Masa depan Bale akan ditentukan

Oleh AFP

GARETH Bale akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Real Madrid Florentino Perez pada awal minggu ini mengenai masa depannya di kelab berkenaan.

Bale mencetus kejayaan membenam Liverpool 3-1 dalam final Liga Juara-Juara selepas dimasukkan dari bangku simpanan, dengan meledak dua gol termasuk satu menerusi sepakan gunting - yang dianggap antara yang terhebat dalam sejarah kejohanan.

Namun, selepas perlawanan itu, pemain berusia 28 tahun itu berkata, dia akan menimbang pilihan yang ada pada musim panas akan datang kerana ketika ini, Bale bukannya pilihan utama skuad kendalian Zinedine Zidane.

Sumber rapat dengan pemain itu memaklumkan kepada AFP, Bale dan ejennya mahu berbincang dengan Perez secepat mungkin ketika sambutan kejayaan menjulang hatrik muncul juara di Madrid, dan isu pemilihan pemain oleh Zidane menjadi agenda utama.

Bale tidak gembira mengenai hubungannya dengan Zidane, dan pilihan utamanya ialah kekal di Real, tetapi dengan syarat ditawarkan peranan lebih besar dalam penggiliran pemain musim depan.

Manchester United, Chelsea, Paris Saint-Germain dan Tottenham dikatakan berminat dengan pemain itu yang mungkin akan kembali ke Utara London, dan sekali lagi berkaitan soal kewangan.

“Saya perlu beraksi setiap minggu, dan perkara itu tidak berlaku musim ini mungkin kerana satu alasan atau ada perkara lain,” kata Bale kepada BT Sport.

“Saya perlu duduk berbincang mengenai masa depan bersama ejen dan membuat keputusan,” katanya.

Bale, yang mempunyai kontrak sehingga 2020, dikatakan menikmati hubungan baik dengan Perez dan presiden kelab itu dijangka akan mengambil berat permintaannya.

Namun, Zidane yang berjaya membawa pasukan menjulang trofi ketiga berturut-turut dijangka mampu meningkatkan statusnya di kelab.

“Ia satu situasi sukar tetapi ramai yang sedang memerhatikan kami, saya memahaminya,” kata Zidane.

“Saya cuba melakukan yang terbaik untuk pasukan dan apabila semuanya berjalan lancar, dia layak untuk beraksi.

“Bale membuatkan keadaan menjadi sukar. Adalah normal untuk beraksi lebih kerap. Saya faham kehendak itu,” - AFP

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 12:19am
d