arena

Acosta cuma tak sihat

Oleh Syafiq Aznan

‘KEHILANGAN’ pemain import PKNS FC, Jonatan Leonel Acosta yang tidak diturunkan pada aksi Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) menimbulkan persoalan sama ada pemain kelahiran Argentina itu bakal digugurkan.

Dengan pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abd Rashid yang sebelum ini mengesahkan mereka sedang berusaha membawa kembali bekas penyerang mereka, Gabriel Guerra bagi menyarung jersi Semut Merah, sudah tentu sukar untuk menyatakan sama ada kedudukan Acosta dijamin selamat sehingga berakhirnya jendela perpindahan kedua, 3 Jun depan.

Bagaimanapun, pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal menjelaskan Acosta, 29, terpaksa diketepikan atas masalah kesihatan sekali gus menyaksikan beliau memberi peluang kepada Mohd Nazrin Syamsul Bahri untuk membarisi kesebelasan utama.

“Sebenarnya, Acosta tidak begitu sihat beberapa hari ini, jadi saya terpaksa membuat perubahan dengan memasukkan Nazrin. Dia sendiri terkejut namun saya lihat dia sudah memberikan yang terbaik ketika sesi latihan dan berhak diturunkan.

“Saya tahu ia tidak mudah kerana aksi sulungnya adalah bertemu JDT namun dia beraksi dengan sangat baik pada penampilan pertamanya itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, anak buah Rajagobal menyekat skuad Harimau Selatan daripada meraih mata penuh apabila mengikat lawan 0-0 sekali gus menjadi pasukan ketiga yang menafikan lawan dalam saingan musim ini.

Mengulas lanjut aksi bertemu pendahulu Liga Super itu, Rajagobal mengakui satu mata diraih ke atas JDT itu sudah tentu dapat memberi keyakinan kepada pemain tetapi menegaskan mereka perlu bekerja lebih keras untuk memperagakan persembahan lebih kemas.

“Secara keseluruhan, kita boleh nampak yang pemain sememangnya bekerja keras, apatah lagi beraksi dalam keadaan padang becak. Tidak mudah untuk mendapatkan satu mata menentang JDT yang sememangnya konsisten dan seimbang di semua posisi.

“Namun, kami tetap perlukan penambahbaikan dalam beberapa aspek supaya dapat terus memberi cabaran kepada pasukan lain. Apapun, satu mata tetap berharga dan ini keputusan yang baik buat kami,” katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 4:57pm
d