arena

Khairul Hafiz ketuai 19 atlet olahraga

Oleh Jumiati Rosly

RAJA pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mengetuai senarai panjang 19 atlet olahraga yang akan mewakili negara ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini biarpun prestasinya dilihat merudum selepas Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan lalu.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim, berkata senarai akhir atlet olahraga itu bagaimanapun tertakluk kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang akan dimaklumkan kelak.

"Kita mencadangkan nama atlet yang mempunyai kedudukan lapan terbaik di kalangan atlet Asia.

"Senarai yang kita beri adalah mengikut pencapaian terkini atlet namun jika ada atlet olahraga lain yang mempamer persembahan cemerlang dalam tempoh sebelum pemilihan maka atlet itu akan diberi peluang juga," katanya kepada NSTP ketika ditemui di pejabat KOM di Wisma MOM, hari ini.

Mengenai pemilihan kuartet pecut 4x100 meter, Karim menjelaskan badan induk itu menyenaraikan enam nama - Khairul Hafiz, Jonathan Nyepa, Nixon Kennedy, Badrul Hisyam Abd Manaf, Muhd Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan menyerahkan kepada MOM untuk memilih kuartet yang akan mewakili negara.

"Tahap saingan di Sukan Asia adalah lebih sukar berbanding Sukan Komanwel, negara hebat seperti China, Korea Selatan dan negara Arab yang tidak menyertai Sukan Komanwel akan ada pada temasya ini.

"Saya tak letak sasaran pingat namun jika dapat ia satu bonus dan memberi petanda yang kita juga mampu merangkul pingat di Sukan Olimpik jika berjaya menguasai Sukan Asia," katanya.

Biarpun tanpa sasaran pingat, Karim berkata dia mahukan atlet negara memecahkan rekod kebangsaan atau sekurang-kurangnya membaiki rekod peribadi masing-masing.

"Jika jurulatih rasa atlet mereka yang disenaraikan tidak boleh memberi persembahan terbaik, bolehlah tarik diri awal-awal kerana saya tak mahu mereka memberi pelbagai alasan jika kecundang nanti," katanya.

Untuk rekod, hanya enam atlet olahraga dihantar ke Sukan Asia Incheon pada tahun lepas.

SENARAI NAMA ATLET OLAHRAGA KE SUKAN ASIA:

LELAKI: Khairul Hafiz Jantan, Rayzam Shah Wan Sofian, Nauraj Singh Randhawa, Lee Hup Wei, Iskandar Alwi, Muhammad Hakimi Ismail, Muhammad Irfan Shamsuddin, Jackie Wong, Luqman Hakim Ramlan, Jonathan Nyepa, Nixon Kennedy, Badrul Hisyam Abd Manaf, Muhd Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail, Lo Choon Sieng, Muhammad Khairil Harith Harun

WANITA: Zaidatul Husniah Zulkifli, Norliyana Kamaruddin, Elena Goh

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 10:15pm
d