arena

Layak ke EPL inspirasi Mitrovic

Oleh Reuters

KEJAYAAN layak ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Fulham memberi keyakinan peribadi buat penyerang Serbia Aleksandar Mitrovic ke Piala Dunia, ketika negara Balkan itu memulakan persiapan ke Russia.

Fulham melangkah ke liga utama dengan kemenangan 1-0 ke atas Aston Villa pada aksi playoff di Wembley Sabtu lalu dan Mitrovic menyedari perpindahannya ke Craven Cottage secara pinjaman dari Newcastle United memberikan semangat kepadanya.

“Satu cara yang hebat untuk menamatkan musim ini dan ia memberi keyakinan dan motivasi kepada saya menjelang Piala Dunia,” kata pemain berusia 23 tahun itu.

“Saya beraksi dengan baik di Fulham di bawah kendalian jurulatih dan rakan senegara, Slavisa Jokanovic dan saya berharap dapat meneruskan prestasi di kelab untuk perlawanan berikutnya dengan Serbia.

“Saya menampilkan aksi bola sepak terbaik sepanjang beberapa bulan lalu selepas separuh musim yang mengecewakan di Newcastle dan saya dahagakan lebih banyak gol.”

Mitrovic, penjaring terbanyak Serbia pada aksi kelayakan Piala Dunia dengan enam gol, meledak 12 gol bersama Fulham dan menjadi nadi pasukan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak 2014.

Dia berkata Serbia akan berdepan tekanan peminat dan pengkritik untuk mencetus impak dalam kejohanan membabitkan 32 pasukan di Russia biarpun diundi dalam Kumpulan E yang mencabar membabitkan Brazil, Switzerland dan Costa Rica.

“Kami sudah biasa dengan tekanan seperti itu kerana peminat kami begitu bersemangat dan dahagakan kejayaan,” katanya.

“Layak ke Piala Dunia selepas lapan tahun tidak beraksi dalam kejohanan utama adalah satu kejayaan namun sebaliknya, pasti menyedihkan jika pasukan dengan kualiti seperti ini tersingkir awal.

“Perlawanan pembukaan menentang Costa Rica akan menjadi kunci kemenangan kerana ia akan membuka laluan ke pusingan kalah mati jadi perlawanan pemanas badan menentang Chile dan  Bolivia adalah medan terbaik menguji kemampuan kami.”

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 2:32pm
d