arena

Pescao tekad gegar GP Itali

Oleh Sukhairi Thani

GRAND Prix (GP) Itali hanya berbaki tiga hari lagi dan bagi pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dia kini sudah bersedia mengharungi pusingan keenam di sirkit Autodromo del Mugello itu.

Hafizh yang kini berada di tangga ke-17 daripada 25 pelumba kelas perdana dengan 13 mata keseluruhan menjalani ujian di Montmelo, Sepanyol baru-baru ini dan pelumba Monster Yamaha Tech3 itu berpuashati dengan keputusan diraih terutama daripada sudut pelarasan jentera.

“Kami memperoleh hasil yang produktif ketika ujian di Montmelo,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

“Saya bertambah serasi dengan motosikal dan kami juga mencuba beberapa perkara yang mampu menambahkan lagi keyakinan saya.

“Saya akan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan diri sendiri. Trek Mugello sangat besar dan saya tiba untuk pertama kali bersama motosikal GP, saya akan cuba memahami litar ini dengan secepat mungkin.

“Kami tahu, sirkit ini menyediakan kepantasan dan amat memerlukan kelajuan tertinggi yang sangat baik, jadi kami akan cuba mendapatkan pelarasan terbaik bermula dari sesi latihan bebas pertama lagi dan cuba merapatkan masa dengan kedudukan teratas dalam setiap sesi.

“Keadaan fizikal saya juga amat baik dan saya gigih berlatih bagi memberi saingan kepada pelumba di dalam kelas perdana ini. Apapun, kita lihat apa yang akan berlaku nanti di sana.”

Di sepanjang lima pusingan sebelum ini, Hafizh juga menduduki tangga kedua dalam carta pelumba baru MotoGP, tercicir tiga mata daripada pendahulu, Franco Morbidelli dari pasukan EG 0,0 Marc VDS.

Morbidelli pastinya mahu mempamerkan tunggangan terbaiknya hujung minggu ini apatah lagi beraksi di halaman sendiri.

“Seperti biasa, saya amat menantikan pusingan seterusnya. Sudah tentu, pesaing dalam muka baru seperti Morbidelli mempunyai motivasi tinggi di Itali, tetapi saya juga tidak kurang begitu juga,” kata Hafizh.

 

 

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 4:29pm
d