arena

'Mana tahan 3 bulan tiada gaji'

Oleh Aziman Rosdi

PENYERANG import Pulau Pinang, Ken Ilso mengesahkan dia sudah meninggalkan pasukannya selepas pengurusan pasukan Liga Perdana itu didakwa gagal membayar gaji selama tiga bulan sejak Februari lalu.

Pemain Denmark itu menandatangani kontrak dengan skuad Harimau Kumbang awal Januari lalu selepas membantu Kedah menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih pada 2017.

Bagaimanapun, jodoh Ilso bersama skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu tidak kekal lama apabila difahamkan masalah kewangan yang melanda Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengakibatkan mereka tidak mampu membayar gaji pemain import.

Ilso, 31, berkata, sehingga kini dia masih menantikan tindakan FAP untuk melunaskan tunggakan gaji dengan jumlahnya enggan didedahkan.

“FAP gagal membayar gaji saya selama tiga bulan bermula Februari, Mac dan April lalu. Jadi selepas tiga bulan, berdasarkan undang-undang, saya boleh menamatkan kontrak berkenaan.

“Sebelum itu saya sudah memberi dua surat peringatan kepada FAP mengenai tunggakan gaji itu dan selepas permintaan saya itu tidak diendahkan maka baru saya buat keputusan untuk keluar daripada pasukan,” katanya.

Selain Ilso, Pulau Pinang turut memiliki pemain import dari Nigeria, Ugo Ukah, Kang Seung-jo (Korea selatan) dan Sanna Nyassi (Gambia).

Menurut Ilso, dia sudah meminta bantuan Persatuan Bolasepak Denmark (DBA) untuk membawa kes berkenaan ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, dia berkata: “Saya masih lagi berada di Kuala Lumpur dan sedang mencari peluang untuk beraksi dengan pasukan lain sebelum tempoh perpindahan pemain kedua ditutup. Jika tiada mungkin saya akan cari peluang di negara lain.”

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 5:03pm
d