arena

'Tak tau nak kata apa ntah'

Oleh Rodly Fadly

SELEPAS pelbagai usaha gagal, Jafri Firdaus Chew kini menyerahkan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menangani isu tuntutan tunggakan gajinya terhadap Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

Jafri yang kini mewakili PKNS FC berkata, dia sudah ‘mati akal’ dengan gelagat pihak terbabit yang seolah-olah mengambil sikap lepas tangan mengenai isu itu walaupun sudah banyak kali menyuarakannya.

Katanya, walaupun jumlahnya tidak seberapa iaitu dua bulan sahaja (Oktober dan November) namun dia tetap mahu FAP menunaikan janji itu kerana ia adalah hasil titik peluhnya.

“Sudah banyak kali saya bersuara mengenai isu ini sama ada secara berdepan mahupun menerusi media, namun tidak ada maklum balas daripada FAP.

“Saya sudah membuat laporan rasmi kepada PFAM dan menyerahkan kepada mereka untuk menguruskannya. Saya difahamkan persatuan itu sudah memulakan langkah untuk menuntut hak saya itu, namun sehingga kini belum ada perkembangan positif.

“Jika tiada penyelesaian, saya tidak mempunyai pilihan kecuali membawa kes ini ke Jawatankuasa Status FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sebagai jalan terakhir mendapatkan hak saya,” katanya.

Difahamkan selain Jafri, beberapa bekas pemain Pulau Pinang seperti K Reuben, Faizat Ghazli, Failee Ghazli dan Rafiudin Rodin turut berdepan masalah sama dan sudah mengadu secara rasmi kepada PFAM.

Terbaru, penyerang import, Ken Ilso Larsen mendedahkan dia terpaksa meninggalkan pasukan itu kerana tidak menerima gaji selama tiga bulan bermula Februari lalu.

Menurut Ilso, dia sudah meminta bantuan Persatuan Bolasepak Denmark (DBA) untuk membawa kes berkenaan ke pengetahuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Seorang lagi bekas pemain import, Reinaldo Lobo yang mewakili Pulau Pinang musim lalu, juga dilaporkan sudah membuat laporan kepada FIFA susulan kegagalan FAP melunaskan tunggakan gajinya.

Situasi ini sudah pasti akan mendatangkan lebih banyak kesulitan kepada FAP.

Selain bakal menerima hukuman daripada FAM, mereka dijangka turut menerima padah daripada FIFA.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 12:03pm
d