arena

'Poket Red Giants semput'

Oleh Aziman Rosdi

PERSATUAN Bolasepak Selangor (FAS) memerlukan teraju kepimpinan baru selepas mereka sukar untuk mengukuhkan kedudukan kewangan sehingga gagal melunaskan pembayaran gaji pemain selama dua bulan sejak Mac lalu.

Perkara itu didedahkan oleh ahli Exconya, Datuk Ariffin Abd Hamid yang mengharapkan perubahan besar dilakukan dalam FAS selepas presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menyuarakan hasrat meletakkan jawatan semalam.

“Jika presiden tidak bertukar, FAS dilihat akan terus dihimpit masalah kewangan walaupun banyak usaha sudah dilakukan untuk bertahan sehingga ke hari ini tanpa bantuan kerajaan negeri.

“Situasi sekarang seperti tidak ada hala tuju sehingga gaji pemain pun sudah tertunggak selama dua bulan. Jadi kita amat memerlukan teraju kepimpinan baru kerana bukan saja soal kewangan malah isu penggunaan Stadium Shah Alam sehingga kini masih belum selesai,” katanya yang juga Penolong Bendahari FAS.

Sejak Subahan mengambil alih teraju FAS daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Februari tahun lalu, organisasi itu terpaksa bergerak sendiri tanpa bantuan kewangan kerajaan negeri.

Malah keretakan hubungan dengan kerajaan negeri itu menyaksikan skuad Red Giants sudah dua musim ‘bergelandangan’ kerana tidak dibenarkan menggunakan Stadium Shah Alam.

Dengan sumber kewangan terhad, Selangor terpaksa berbelanja secara berhemah untuk membentuk pasukan dan kini hanya mampu menduduki tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 11 mata.

Ariffin yang juga pengurus skuad Piala Presiden berkata, masalah kewangan itu semakin melarat sehingga beliau terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri bagi menampung perbelanjaan skuad Piala Presiden dan Belia kira-kira RM100,000 sebulan.

“Masalah pembayaran gaji ini bukan hanya membabitkan skuad Liga Super, malah saya selaku pengurus terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk menguruskan skuad Piala Presiden dan Belia Selangor. Ini semua dilakukan atas rasa tanggung jawab terhadap pembangunan pemain muda negeri ini.

“Dengan Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) menjadi calon pilihan untuk menggantikan Subahan, saya percaya ada sinar untuk Selangor keluar daripada segala kemelut ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2018 @ 4:50pm
d