arena

Pamer semangat juang Super Eagles

Oleh AFP

PRESIDEN Nigeria, Muhammadu Buhari menegaskan skuad ‘Super Eagles’ itu perlu memperagakan semangat keberanian Nigeria pada aksi Piala Dunia kerana mereka membawa emosi lebih 180 juta rakyat negara itu.

Buhari menemui pasukan yang akan beraksi di Russia itu dengan diiringi Menteri Sukan, Solomon Dalung serta Presiden Persekutuan Bolasepak Nigeria (NFF) Amaju Pinnick untuk memberi kata-kata semangat kepada pemain, semalam.

Nigeria bakal membuat penampilan keenamnya di pentas berprestij itu namun diundi dalam kumpulan yang sukar bersama Argentina, Croatia serta Iceland.

“Persembahan terbaik pasukan ini pada Piala Dunia adalah mara ke pusingan 16 terbaik pada 1994, 1998 dan juga 2014.

“Anda semua perlu tahu bahawa anda bukan sahaja beraksi di kejohanan ini malah anda turut membawa emosi, keterujaan dan perasaan lebih 180 juta rakyat negara ini,” kata Buhari.

“Anda adalah pasukan termuda di Piala Dunia sekali gus menjadi pasukan yang paling kurang berpengalaman. Mungkin lawan tahu mengenai perkara ini namun ia juga boleh menjadi kelebihan kepada anda.

“Anda mendapat sokongan dan restu semua rakyat Nigeria yang akan terus memberi semangat sepanjang perjuangan anda di sana nanti.

“Bermainlah dengan bersih dan adil namun tunjukkan semangat keberanian Nigeria yang sememangnya sudah diketahui ramai.”

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 8:50am
d