arena

Amutu gian ledak gol lagi

Oleh Asrol Awang

SENTUHAN pertama pada pertemuan dengan Kuala Lumpur 25 Mei lalu, menjadi pendorong buat penyerang Pahang, Austin Amutu melakukannya sekali lagi apabila bertemu PKNP FC, Sabtu ini.

Penyerang kelahiran Nigeria itu berkata, jaringan pertama pada penampilan kedua Liga Super itu memberi inspirasi dalam usaha membantu skuad Tok Gajah merekodkan kemenangan.

“Sudah pasti saya mahu menyumbang gol buat pasukan dan satu gol ketika menewaskan Kuala Lumpur 4-0 begitu bermakna untuk beraksi dengan lebih baik.

“Sokongan rakan sepasukan juga akan membantu kami mengutip tiga mata untuk meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik dalam liga.

“Namun, kami tidak boleh memandang mudah keupayaan PBNP yang pasti mahu mencatat kemenangan,” kata pemain berumur 25 tahun itu.

Justeru, pada perlawanan itu, tugas besar bakal menanti Amutu kerana skuad Tok Gajah tidak dapat menurunkan Patrick Cruz yang masih cedera.

Difahamkan, R Kogileswaran atau Norshahrul Idlan Talaha akan menjadi taruhan terbaik pengendali, Dollah Salleh untuk mempertajamkan jentera serangan.

Pada masa sama, Issey Nakajima yang turut meledak satu gol akan turut diberi peluang mempamerkan permainan terbaik bagi membuktikan pemilihannya pada jendela perpindahan kedua adalah tepat.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 11:53am
d