arena

Afidavit tunggakan gaji ke FAM

Oleh Rodly Fadly

KES tunggakan gaji dihadapi Jafri Firdaus Chew serta beberapa bekas pemain Pulau Pinang, kini sudah dipanjangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas usaha awal melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menemui jalan buntu.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya memberitahu afidavit kesemua pemain telah difailkan kepada FAM, April lalu dan pihaknya kini hanya menunggu Jawatankuasa Status badan induk itu menetapkan tarikh sesi pendengaran kes berkenaan.

Selain Jafri, pemain lain yang turut membuat tuntutan tunggakan gaji adalah K Reuben, Rafiuddin Roddin, Syed Adney Syed Hussein, Sani Kamsani, Faizat Ghazli, Mafry Balang dan Shazalee Ramlee.

Menurut Rezal, ia langkah terakhir terpaksa diambil PFAM selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) tidak memberi sebarang tindak balas ke atas tuntutan dibuat pemain melalui persatuan itu.

“Selepas pemain membuat aduan kepada kami, PFAM menghantar surat kepada FAP untuk meminta penjelasan. Mereka membalas dan meminta tempoh sehingga Februari lalu untuk membuat bayaran.

“Namun, janji tidak ditunaikan malah beberapa pertanyaan susulan daripada PFAM selepas itu tidak menerima sebarang jawapan. Jadi, kami tidak mempunyai pilihan kecuali merujuk kes ini kepada FAM.

“Bila sudah sampai kepada FAM, badan induk itulah yang akan membuat keputusan. Sekarang, kami hanya menunggu FAM menetapkan tarikh untuk sesi pendengaran,” katanya.

Rezal membuat penjelasan itu ekoran kenyataan Jafri semalam yang menyerahkan isu tuntutan gaji tertunggak sebanyak dua bulan (Oktober dan November 2017) kepada PFAM selepas segala usahanya menemui kegagalan.

Krisis kewangan melanda FAP menyebabkan ramai pemain negeri itu mengambil keputusan angkat kaki ke pasukan lain pada musim ini dengan Jafri menyertai PKNS FC.

Malah berdasarkan senario terkini, pasukan itu masih dibelenggu masalah sama apabila pemain importnya, Ken Ilso Larsen mendedahkan terpaksa menamatkan kontrak dengan FAP selepas mereka gagal membayar gajinya selama tiga bulan bermula Februari.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 5:42pm
d