arena

Kedah waspada ancaman MU

Oleh Izzali Ismail

SKUAD Kedah tidak akan memandang mudah pertemuan menentang Melaka United di Stadium Darul Aman, esok.

Ketua jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, semua pemain perlu terus fokus dan meningkatkan disiplin dalam usaha meraih tiga mata di gelanggang sendiri.

“Walaupun kita menang tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini menewaskan Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor, kita tidak harus lari dari fokus utama untuk kekalkan momentum itu.

“Apa yang perlu adalah meneruskan usaha dan aksi konsisten serta memperbaiki kelemahan sebelum ini dan meningkatkan lagi mutu permainan.

““Kelebihan beraksi di laman sendiri memberi sedikit kelebihan dan ini ditambah dengan motivasi kemenangan dalam perlawanan lalu.

“Begitupun, kita harus berwaspada untuk tidak leka dan mengelak kesilapan yang boleh merugikan peluang meraih kemenangan,” katanya.

Nidzam juga memaklumkan pemain sayap Andik Vermasyah dijangka bakal diturunkan dan kehadirannya bersama penyerang sensasi Kedah Paulo Rangel diharapkan memberi impak terbaik.

“Cuma pemain tengah Akram Mahinan tidak dapat diturunkan selepas memungut kad kuning ketiga yang diterimanya sewaktu menentang Selangor sebelum ini.”

“Kita juga perlu lebih waspada dengan perancangan Melaka melalui kendalian jurulatih baharunya E Elavarasan yang sudah pasti mahukan kebangkitan dan memberi tentangan sengit di Darul Aman,” katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2018 @ 5:47pm
d