arena

Fazilla perlu tunggu bos kata OK

Oleh Naqib Nor Said

TONGGAK tengah, Fazilla Sylvester Silin pasti mampu tersenyum puas selepas mendapat reaksi positif berhubung peluangnya untuk kembali beraksi bersama skuad hoki kebangsaan.

Nama Fazilla, 31, kembali berada dalam perancangan pengendali, Dhaarma Raj Abdullah dengan peluangnya untuk disenaraikan bergantung kepada ‘restu’ majikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Namun, berdasarkan pertemuan antara Dhaarma Raj bersama Penolong Ketua Pengarah Pengurusan Korporat Bomba, Siti Rohani Kadir hari ini, kemungkinan besar pemain itu berpeluang untuk kembali selepas majikannya sedia mempertimbangkan permohonan berkenaan.

“Sekarang ini kami masih menunggu surat permohonan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan selepas itu kami akan menimbangkannya,” kata Rohani.

“(Adakah pertemuan hari ini berlangsung positif?) Mungkin, tetapi apapun kena dapat keputusan penuh daripada ketua pengarah.”

Fazilla sebelum ini terpaksa melupakan tiga daripada empat kejohanan termasuk aksi terakhir di Trofi Juara-Juara Asia bulan lalu kerana perlu menghadiri kursus latihan JBPM yang berakhir pada 17 Mei lalu.

Kali terakhir pemain kelahiran Dalat, Sarawak itu membuat kemunculan adalah pada Sukan Komanwel Gold Coast, itupun selepas Dhaarma Raj berjaya meyakinkan JBPM untuk memberi pelepasan sementara buatnya yang sebelum itu terlepas saingan Sukan SEA dan Piala Asia.

“Berdasarkan pertemuan tadi, majikan saya rasanya tiada masalah untuk memberi pelepasan. Cuma mereka sedang menunggu permohonan rasmi daripada MSN,” kata Fazilla yang kembali menyertai latihan pasukan negara pada Isnin lalu.

Ditanya mengenai peluang terpilih dalam senarai 18 pemain terbaik untuk ke pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura, bermula 23 Jun ini, Fazilla berkata: “Peluang itu ada, tetapi saya perlu meningkatkan usaha untuk kembali mengejar rentak permainan rakan sepasukan.”

Bagaimanapun, Dhaarma menerima berita kurang enak menjelang kempen kelayakan Sukan Olimpik 2020 itu apabila terpaksa mengetepikan penyerang, Nurul Nabihah Mansur yang sedang hamil dua bulan.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 4:16pm
d