arena

'Bukan saya yang ganti Zidane...'

Oleh AFP

JURULATIH Jerman, Joachim Loew enggan dikaitkan dengan Real Madrid selepas timbul laporan yang menyebut beliau sudah di risik bagi menggantikan Zinedine Zidane.

“Sudah tentu saya boleh menolak sepenuhnya perkara ini ketika ini,” kata Loew ketika ditemui wartawan di kem latihan Piala Dunia Jerman di sini.

Spekulasi mengenai perkara berkenaan timbul selepas akhbar Sepanyol, Marca mendakwa Real sudah mendekati pengendali berusia 58 tahun itu.

“Real Madrid sudah pasti akan mendapat pengganti yang amat, amat bagus bagi Zinedine Zidane.

“Peletakan jawatannya agak mengejutkan saya tetapi beliau adalah penilai yang paling baik sama ada pasukannya sudah berada di puncak (di bawah kendaliannya).

“Jika beliau merasakan kini adalah masa yang terbaik, jadi kamu perlu menghormatinya.”

Loew baru-baru ini menandatangani kontrak lanjutan dengan Persekutuan Bolasepak Jerman sehingga Piala Dunia 2022 dan berkata fokusnya adalah untuk mempertahankan kejuaraan di Russia.

Kali terakhir Loew menguruskan pasukan berstatus kelab adalah pada 2004 bersama kelab Austria, Vienna.

Di bawah kendaliannya, Jerman mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan utama dunia sejak Piala Dunia 2006 dengan kejayaan terbaiknya adalah menjuarai Piala Dunia 2014 di Brazil.

Disiarkan pada: June 1, 2018 @ 8:53pm
d