arena

The Rhinos sedia tamat badi

Oleh Ryan Stanley

SELEPAS enam perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan, Sabah mahu menamatkan badi itu apabila melayan kunjungan UKM FC di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Jelius Ating berkata, anak buahnya perlu mengambil peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi memastikan mereka tidak lagi tercicir mata sekali gus menghidupkan peluang untuk terus bersaing merebut tempat ke Liga Super.

“Sejak beberapa perlawanan lalu, kita dibolosi agak banyak dan kita perlu memperbaiki kelemahan ini sekiranya mahu mencatat kemenangan.

“Saya juga berharap pemain akan mengambil peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk memperoleh kemenangan yang kita cari sejak enam perlawanan lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelius berkata, beliau akan membuat sedikit perubahan terhadap kesebelasan utamanya berikutan kemasukan pemain import baru, Keisuke Ogawa serta kecederaan dialami pemain pertahanan, Jenius Karib.

“Selain itu, Sabri Sahar mengalami sedikit kecederaan namun kita akan tengok nanti sama ada dia sempat cergas untuk aksi esok atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Jelius gembira kerana Ogawa sah dapat beraksi malam esok dan berharap pemain berusia 31 tahun itu akan memperkuatkan jentera tengah pasukan.

“Dia (Ogawa) semakin menyesuaikan diri dengan pasukan dan saya nampak dia sudah semakin serasi dengan pemain kita walaupun hanya menyertai latihan kira-kira seminggu lalu,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 47 tahun berkenaan memberitahu seorang lagi pemain import, Rodoljub Paunovic tidak akan beraksi malam esok kerana bakal melangsungkan perkahwinannya di Serbia, Ahad ini.

Jelius dijangka mengekalkan Rendy Robson Rining sebagai benteng terakhir pasukan dengan dibantu pemain pertahanan, Rawilson Batuil, Francis Kasonde, Randy Baruh Samson dan Maffry Balang.

Ogawa pula dijangka mengemudi bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa, Sabari Sahar atau Umareng Bachok.

Penyerang dari Puerto Rico, Hector Omar Ramos sekali lagi akan menjadi pemburu jaringan buat Sabah dengan dibantu penyerang tempatan, Rahman Shah Marajeh.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 12:08am
d