arena

MU 'tibai' Lang Merah

Oleh Izzali Ismail 

KEDAH gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas mengejut 0-2 kepada Melaka United (MU) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan sedikit perlahan dan tampak berhati hati ketika melakukan serangan sehingga tiada percubaan bahaya ke pintu gol dapat dihasilkan. 

Tiba ke Darul Aman selepas dipalit kekalahan kepada Terengganu, minggu lalu, MU terlebih dulu melakukan beberapa percubaan menerusi pemain import Korea Selatan, Changhoon Lee pada minit ke-25 dan ke-29 namun ia berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Ifwat Akmal. 

Kedah cuba memburu gol melalui penyerang sensasi Paulo Rangel namun pemain dari Brazil itu buntu untuk mendapat peluang terbaik dengan cubaan Andik Vermasah pada minit ke-38 lemah dan mudah dibaca oleh penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat. 

Pada minit ke-41, Melaka akhirnya berjaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pembukaan Yahor Zubovich yang mendapat hantar dari bahagian kiri pintu gawang Kedah.

Bermula babak kedua Kedah yang memburu jaringan penyamaan terus menggandakan tekanan dengan corak serangan lebih bertenaga tetapi percubaan Rangel pada minit ke-51 dan dan Akhyar Rashid (m52) berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.

Selepas dua lagi cubaannya gagal menghasilkan gol, Rangel berjaya meleraikan penantian Kedah pada minit ke-83 dengan menolak masuk bola ke gawang Melaka namun penjaga garisan terlebih dulu mengesan kedudukan ofsaid. 

Di penghujung perlawanan MU menambah derita Kedah dengan satu lagi gol melalui sentuhan Changhoon Lee pada minit ke-89.

Kedudukan 0-2 kekal hingga wisel penamat ditiupkan menyaksikan Kedah buntu mengutip mata di Darul Aman, sementara pelawat ceria membawa pulang tiga mata. 

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 12:39am
d