arena

Tagih magis Van Marwijk

Oleh HM Digital

Bert Van Marwijk berdepan cabaran getir untuk mengemudi Australia ke peringkat kalah mati Piala Dunia selepas skuad yang diberi jolokan Socceroos itu menempuh detik cemas sepanjang kempen kelayakan ke Russia.

Diletakkan dalam Kumpulan C bersama Perancis, Denmark dan Peru, Australia memerlukan kemenangan ke atas Honduras dalam aksi playoff untuk menempah tiket susulan keputusan yang tidak begitu memihak kepada mereka sewaktu berdepan lawan dari Asia.

Keputusan mengecewakan pada aksi kelayakan Piala Dunia zon Asia itu turut memaksa bekas jurulatih Ange Postecoglu melepaskan jawatannya, untuk digantikan Van Marwijk pada Januari lalu.

Pengendali dari Belanda itu mempunyai sentuhan magis di Piala Dunia, selepas pernah mengemudi Belanda ke final Piala Dunia 2010, selain membantu Arab Saudi melayakkan diri ke Russia sebelum berpisah atas masalah pertikaian kontrak.

Van Marwijk, 65, menyasarkan kelompok 16 terakhir, yang mana menyamai pencapaian terbaik Socceroos pada edisi 2006 di Jerman.

Hakikatnya, ia akan menjadi pencapaian luar biasa bagi pasukan yang ketandusan pemain bertaraf dunia berbeza dengan skuad 2006 yang diperkuatkan sepenuhnya pemain beraksi di liga utama Eropah.

Bagi edisi kali ini, Australia rata-ratanya dibarisi pemain yang beraksi di liga domestik, di samping beberapa pemain - kelas kedua - berpangkalan di Eropah.

Kegagalan melahirkan pemain sehebat Tim Cahill, yang kekal sebagai penyumbang utama gol mereka pada usia 38 tahun menyebabkan Van Marwijk terpaksa memilihnya walaupun dia lebih banyak memanaskan bangku simpanan untuk kelab Liga Kejuaraan England, Millwall.

Namun, peluang tetap ada buat Socceroos di ranking ke-40 dunia itu apatah lagi dengan kebijaksanaan Van Marwijk yang kini mempertaruhkan formasi 4-2-3-1 berbanding 3-2-4-1 yang sering terperangkap dalam situasi serangan balas.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 5:21am
d