arena

Kecergasan Neymar jadi tumpuan

LIVERPOOL: Brazil tidak menghiraukan kecergasan bintang penyerang Neymar apabila pencabar utama Piala Dunia itu akan berdepan Croatia pada aksi persahabatan di Anfield malam esok.

Neymar, yang menjaringkan empat gol pada Piala Dunia 2014, tidak bermain sejak Februari akibat patah kaki.

Tonggak Paris Saint Germain berusia 26 tahun itu tidak berlatih kelmarin sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun rakan sepasukan Brazil, Fernandinho memberikan reaksi positif mengenai keadaan Neymar hanya dua minggu sebelum bermula Piala Dunia pada 14 Jun.

“Dengan pergerakan dan cara menggelecek dilakukannya dalam latihan, dia menunjukkan dia semakin baik,” kata pemain tengah Manchester City itu.

“Dia semakin yakin dan itu penting, dia menunjukkan dia tidak bimbang dengan pertahanan apabila mengatasinya tanpa rasa takut.

“Ini adalah langkah pertama untuk mendapatkan kembali keyakinannya ke tahap 100 peratus untuk Piala Dunia.

“Kami juga menyokongnya ketika pemulihan kerana tanpa ragu lagi dia akan membawa kelainan kepada pasukan kami. 

“Saya berada dalam keadaan ini ketika saya muda, mengalami kecederaan bukanlah mudah walaupun semakin pulih dengan melalui latihan setiap hari ketika tulang masih sakit, ia masih sukar.

“Neymar sudah bersedia. Dia cergas. Dia tidak melalui kecederaan yang baik dan memerlukan masa untuk pulih. Tetapi dia berlatih dengan baik dan merasa bagus.”

Neymar boleh memainkan sedikit peranan sebagai pemain gantian di Anfield, namun bos Selecao, Tite tampak tidak akan mengambil sebarang risiko menjelang saingan pembukaan Piala Dunia berdepan Switzerland pada 17 Jun.

Ia bermakna Neymar pasti akan diberikan sedikit masa untuk bermain dalam saingan persahabatan bertemu Austria di Vienna pada 10 Jun bagi perlawanan pemanas badan Brazil. - AFP

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 8:01am
d