arena

Sasaki, Adam 10 terbaik kelayakan GP Itali

Oleh Sukhairi Thani

PASUKAN PETRONAS Sprinta Racing meraih sesi kelayakan terbaik bagi musim 2018 apabila pelumbanya Ayumu Sasaki dan Adam Norrodin menempah grid perlumbaan di dalam kelompok 10 terbaik di Grand Prix (GP) Itali, hari ini.

Sasaki dari Jepun meraih grid terbaiknya dalam karier Moto3, apabila menamatkan sesi kelayakan di tangga ketiga manakala Adam bakal memulakan saingan di Litar Autodromo del Mugello, esok dari petak kelapan.

Sasaki mencatat masa terbaik 1 minit 56.844 saat dan hanya ketinggalan 0.210s di belakang Jorge Martin yang mengungguli sesi berkenaan dengan catatan 1'56.634s.

Berada di pertengahan barisan pertama antara Martin dan Sasaki adalah pelumba SIC58 Squadra Corse, Tatsuki Suzuki yang mencatat masa sepusingan terbaik, 1'56.824s.

Adam dalam pada itu bakal bermula dari barisan ketiga bersama-sama Marcos Ramirez (Bester Capital Dubai) dan Niccolo Antonelli (SIC58 Squadra Corse).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali yang berada di Mugello atas urusan penting bersama pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna menyatakan kegembiraannya atas prestasi kedua-dua pelumba pasukan berkenaan.

“Kelayakan pertama kami di dalam kelompok 10 teratas dalam sesi kelayakan,” kata Razlan dalam laman Facebook.

“Ayumu Sasaki meraih kelayakan terbaik dalam kariernya dengan berada di tangga ketiga, manakala Adam Norrodin berada di posisi kelapan.

“Perlumbaan esok tentunya menarik apatah lagi kedua-duanya mempunyai peluang cerah untuk menamatkan saingan di podium.”

Selepas lima pusingan musim ini, Sasaki berada di tangga ke-17 dengan 17 mata keseluruhan, manakala Adam satu anak tangga di bawah dengan 16 mata.

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 9:39pm
d