arena

GP Itali: Hafizh bermula petak ke-14

Oleh Sukhairi Thani

PELUMBA MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello dari petak ke-14, esok.

Dia yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech3 menamatkan sesi kelayakan hari ini dengan catatan 1 minit 47.188 saat dan bakal memulakan saingan dari barisan kelima bersama Tito Rabat (Reale Avintia Racing) dan Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing).

Juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Movistar Yamaha MotoGP menyambar petak pertamanya musim ini di Litar Mugello dengan melakar catatan masa sepusingan terpantas, 1'46.208s.

Petak kedua menjadi milik pelumba Ducati, Jorge Lorenzo yang mencatat 1'46.243s manakala rakan sepasukan Rossi, Maverick Vinales melengkapkan barisan pertama dengan catatan, 1'46.304s.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco ketinggalan 0.622s daripada Rossi dan bakal memulakan perlumbaan dari petak kesembilan.

Pencabar terdekat Hafizh dalam carta muka baharu pelumba MotoGP, Franco Morbidelli bakal memulakan saingan dari petak ke-12 apabila mencatat 1'47.002s.

Setakat lima pusingan musim ketika ini, Hafizh kini berada di tangga ke-17 bagi kelas perdana itu dengan 13 mata keseluruhan - berkongsi mata dengan Aleix Espargaro dari pasukan Aprilia Racing Team Gresini.

KEPUTUSAN:

1. Valentino Rossi (ITA/Movistar Yamaha MotoGP) 1'46.208s

2. Jorge Lorenzo (SPA/Ducati) 1'46.243s

3. Maverick Vinales (SPA/Movistar Yamaha MotoGP) 1'46.304s

4. Andrea Iannone (ITA/Team SUZUKI ECSTAR) 1'46.347s

5. Danilo Petrucci (ITA/Alma Pramac Racing) 1'46.445s

...14. Hafizh Syahrin Abdullah (MAS/Monster Yamaha Tech3) 1'47.188s

Disiarkan pada: June 2, 2018 @ 9:48pm
d