arena

Pahang kecewakan PKNP FC

Oleh Azizam Hashim

PAHANG meneruskan rentak cemerlang apabila menumpaskan pasukan PKNP FC 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Anak buah Dollah Salleh bangkit pada babak kedua dengan menjaringkan dua gol untuk memadam kelebihan tuan rumah yang mendahului seawal minit kedua perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Pahang melonjak ke tangga kedua dengan mengutip 24 mata.

PKNP FC terus menyerbu garang sebaik sepak mula apabila tuan rumah memperoleh sepakan sudut yang menghasilkan gol pertama hasil jaringan Ritus Krjauklis pada minit ke-2.

Jaringan itu jelas menyentap semangat pemain skuad Tok Gajah yang kembali bangkit menyusun serangan, tetapi beberapa peluang gagal disempurnakan.

Asakan bertali arus pelawat menyaksikan PKNP FC terus berkampung di kawasan sendiri untuk bertahan hingga wisel rehat.

Penguasaan Pahang berterusan sebaik permainan bersambung pada babak kedua, dan usaha mereka akhirnya berjaya apabila Mohammadou Sumareh menyamakan kedudukan pada m-74.

Tuan rumah berpeluang mendahului pada m-90 tetapi rembatan kapten PKNP FC Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi tersasar.

Sebaliknya, Tok Gajah yang pulang ceria apabila Mohd Faizal Abdul Halim menyumbat gol kemenangan seminit kemudian untuk keputusan muktamad 2-1.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 1:04am
d