arena

Rooney hampiri perpindahan ke DC United

Oleh Reuters

PERPINDAHAN bekas penyerang England, Wayne Rooney ke Liga Bolasepak Major (MLS) hampir dimuktamadkan secara rasmi.

Rooney, 32, dijangka menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab DC United dengan gaji AS$5 juta (RM19.89 juta) setahun, menurut laporan berita Sky Sports.

Perjanjian itu boleh dimuktamadkan seawal Isnin ini. Begitupun, wujud perjanjian kedua yang membenarkan Rooney kembali ke kelabnya, Everton dengan tugas sebagai jurulatih pada masa depan, kata laporan berkenaan.

Rooney tidak boleh menyertai DC United sehingga jendela perpindahan kedua dibuka pada 10 Julai ini dan ironinya kelab berkenaan akan merasmikan gelanggang baharu, Audi Field pada 14 Julai ini.

Sejak beberapa bulan lalu, wakil Rooney memulakan rundingan membabitkan terma kontrak perpindahannya daripada Everton.

Bekas pengurus Everton, Sam Allardyce sebelum ini tidak dapat menjamin tempat buat Rooney bersama kelab itu pada musim depan.

Rooney yang juga bekas penyerang Manchester United dilaporkan sudah melihat kemudahan DC United ketika melakukan kunjungan pada 23 hingga 24 Mei lalu.

Dia menyertai semula Everton pada Julai 2017 dalam perjanjian selama dua tahun selepas menghabiskan 13 musim di United dan menjadi penjaring gol terbanyak kelab gergasi Inggeris itu.

Pada musim ini, dia menjadi penjaring terbanyak Everton dengan 11 gol. - Reuters

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 1:18am
d