arena

Drop Shot: 'Dongak semula'

Oleh Datuk Seri Jalani Sidek

Rata-rata rakyat Malaysia sudah mengetahui pencapaian skuad Piala Thomas negara baru-baru ini di Bangkok, Thailand. Ya, gagal, kita gagal memenuhi sasaran mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir apabila terkandas di suku akhir.

Suka atau tidak, skuad Piala Thomas negara harus menerima hakikat itu. Adakah kita perlu berasa berputus asa untuk selama-lamanya? Tidak. Sebab itu saya berharap barisan pemain negara dapat kembali mendongak muka, kuatkan semangat dan mempunyai keyakinan sepenuhnya untuk bangkit semula pada temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos depan.

Pada temasya sukan inilah kita mampu buktikan kembali Malaysia masih kekal gergasi badminton dunia. Acara badminton dilihat mempunyai prestij tinggi di Sukan Asia kerana kuasa besar sukan itu sememangnya datang dari Asia. Sebab itu Sukan Asia dilihat saingan paling relevan untuk barisan pemain negara bangkit semula.

Sama ada anda sedar atau tidak, sebenarnya sudah lama juga barisan pemain negara gagal memenangi pingat emas selepas kali terakhir dilakukan pasangan beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2006 di Doha. Di sinilah pasangan beregu terkini negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu membuktikan sama ada gandingan mereka masih relevan atau tidak.

Dengan aksi hambar di Piala Thomas, ia memberi isyarat jelas kedua-dua mereka tidak boleh main-main lagi. Keputusan harus dilakukan berdasarkan kepada pencapaian di Indonesia sama ada kedua-duanya wajar dikekalkan atau tidak. Bagi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, saya tetap menaruh keyakinan tinggi kepadanya meskipun usianya sudah semakin senja.

Namun, usaha Chong Wei untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia buat kali pertama dilihat penuh berliku dengan kebangkitan barisan pemain muda. Apapun, kita harus memberi sokongan padu kepada barisan pemain negara tidak kira ketika di waktu sukar atau senang. Jumpa lagi.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 5:26am
d