arena

Paha Kompany risaukan Belgium

Oleh Reuters

BRUSSELS: Pertahanan, Vincent Kompany memerlukan ujian imbasan untuk menentukan sama ada dia boleh bermain di Piala Dunia dekat Russia selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika Belgium seri tanpa jaringan menentang Portugal awal pagi tadi.

Pemain berusia 32 tahun itu, nadi utama di pertahanan Belgium, meninggalkan padang pada minit ke-55 selepas tampak mengalami kecederaan ketika mengawal bola.

“Anda boleh merasakannya apabila dia meninggalkan padang dan kami semua bimbang,” kata jurulatih Roberto Martinez dalam sidang akhbar sambil menambah ia memerlukan kira-kira 48 jam untuk menentukan bagaimana serius kecederaan itu.

“Katanya dia berasa tidak selesa di pangkal paha apabila dia berjalan di padang. Dia bukan pemain muda, dia tahu badannya. Pada ketika itu adalah masa yang sesuai untuk dia berehat,” kata Martinez.

Kecederaan itu menjadi isu utama selepas keputusan seri 0-0 Belgium berdepan Portugal ketika kedua-dua pasukan menunjukkan usaha menyerang tetapi tiada usaha berbahaya kurang dua minggu sebelum bermula Piala Dunia.

Belgium dan juara Eropah itu melalui fasa yang meyakinkan dengan pemain Portugal, Bernardo Silva mencipta peluang terbaik pada penghujung babak pertama.

Peluang terbaik Belgium pula diperoleh pertahanan, Jan Vertonghen, yang menerima kaps ke-100 apabila dia memaksa penjaga gol, Beto melakukan tindakan menyelamat akrobatik pada pertengahan babak kedua.

Belgium memulakan aksi dengan kesebelasan terbaik selain pemain yang cedera, Axel Witsel dan Thomas Vermaelen yang menjadi sebahagian tiga pertahanan.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos melakukan enam perubahan daripada pasukan yang memulakan saingan ketika seri 2-2 berdepan Tunisia Isnin lalu sekali lagi tanpa Cristiano Ronaldo yang masih berehat selepas aksi final Liga Juara-Juara. 

Penyerang Andre Silva memulakan permainan dari bangku simpanan dengan memberikan pemain berusia 21 tahun, Goncalo Guedes peluang menyinar di bahagian serangan.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 7:15am
d