arena

Jelius kecewa prestasi Sabah

Oleh Ryan Stanley

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah, Jelius Ating kecewa dengan persembahan anak buahnya yang gagal menunjukkan peningkatan sehingga menyaksikan mereka kecundang buat kali pertama di Stadium Likas kepada UKM FC, malam tadi.

Jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, senario seperti musim-musim lalu iaitu terpaksa bergelut pada pusingan kedua liga walaupun pada awal musim mereka mencatat kedudukan lebih baik, berulang kembali.

“Saya banyak kali mengingatkan mereka supaya tidak mudah cepat puas hati dan terus menunjukkan peningkatan sehingga tamat musim ini, namun apa yang saya nampak prestasi mereka semakin menurun dan inilah yang berlaku seperti musim-musim sebelum ini.

“Beberapa jurulatih yang mengendali pasukan sebelum ini, juga menghadapi situasi sama, dan sebab itu saya mahu pemain mula sedar, adakah mereka mahu perkara berulang seperti sebelum ini?

“Atau mereka mahu menyumbang sesuatu kepada pasukan yang boleh menggembirakan semua orang khususnya penyokong,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi malam tadi, badi tanpa kemenangan Sabah berterusan kepada tujuh perlawanan selepas tewas 1-3 kepada UKM FC.

Jelius berkata, beliau sedia bertanggungjawab sekiranya pasukan itu gagal pada musim ini, namun menegaskan perjuangan mereka masih belum selesai kerana saingan liga masih terbuka.

“Sasaran saya untuk pasukan ini masih kekal iaitu layak beraksi di Piala Malaysia dan saya berharap kita mampu merebut tempat untuk beraksi di Liga Super, musim depan.

“Bagaimanapun, perkara ini hanya akan menjadi kenyataan jika pemain mula sedar, saya juga tidak akan putus asa untuk terus membentuk pasukan ini supaya menjadi lebih mantap,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah masih kekal di tangga kelima dengan 15 mata hasil daripada tiga kemenangan, enam seri dan empat kekalahan.

Disiarkan pada: June 3, 2018 @ 1:06pm
d