arena

Zverev, Djoko bergaya mara separuh akhir

Oleh AFP

PARIS: Pilihan kedua dari Jerman, Alexander Zverev dan Novak Djokovic semakin hampir bertemu pada separuh akhir Terbuka Perancis dengan pemain muda itu mengatasi Karen Khachanov manakala bekas juara menyingkirkan Fernando Verdasco pada pusingan keempat, semalam.

Zverev, 21, meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam lima set untuk layak ke suku akhir acara Grand Slam buat kali pertama, mengalahkan pemain Russia, Khachanov 4-6, 7-6 (7/4), 2-6, 6-3, 6-3.

Djokovic mudah melepasi cabaran pemain veteran Sepanyol, Verdasco 6-3, 6-4, 6-2 dan akan beraksi pada suku akhir di Roland Garros dengan rekod kali ke-12.

Zverev menghasilkan permainan menakjubkan pada lewat perlawanan dramatik pusingan keempat itu dan akan berdepan Dominic Thiem yang mara ke suku akhir kali ketiga berturut-turut di Paris dengan mengatasi pemain Jepun, Kei Nishikori 6-2, 6-0, 5-7, 6-4.

Pemain nombor 38 dunia, Khachanov kini kecundang dua kali berturut-turut pada pusingan keempat di Roland Garros, manakala Zverev menamatkan penantian bagi penampilan pertama pada suku akhir kejohanan utama dalam 12 percubaan.

“Ya, saya masih muda, jadi saya patut berada di gelanggang, berlatih dan menghiburkan anda,” kata Zverev, yang membida untuk menjadi pemain lelaki pertama Jerman menjuarai Terbuka Perancis sejak 1937.

“Saya dan abang saya (Mischa) menghabiskan tiga, empat jam sehari di gimnasium, mengangkat bebanan berat. Ia berbaloi hari ini.”

Pemain nombor tiga dunia itu, seperti dilakukannya ketika menang ke atas Dusan Lajovic dan Damir Dzumbur, bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk memaksa set penentuan, sebelum meraih kemenangan menakjubkan yang menampilkan 63 ‘winners’ dan 17 servis ace.

Thiem, satu-satunya pemain yang menundukkan Rafael Nadal di gelanggang tanah liat tahun ini, mengekang kebangkitan lewat Nishikori di gelanggang Philippe Chatrier untuk menempah pertemuan dengan Zverev.

“Saya fikir ia pertemuan yang diharapkan penyokong di Jerman dan Austria apabila mereka melihat undian,” katanya.

“Dia pemain yang mengagumkan. Maksud saya, mungkin kini ketiga terbaik selepas Rafa dan Roger (Federer). Jadi ia satu cabaran getir buat saya.”

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 9:57am
d