arena

Debaran Ariya bawa pulang RM3.6 juta

Oleh Reuters

SHOAL CREEK, Amerika Syarikat: Ariya Jutanugarn mensia-siakan pendahuluan tujuh pukulan pada Terbuka Wanita AS awal pagi tadi selepas merosot teruk dalam sembilan lubang terakhir namun mengelak bencana apabila menundukkan pemain Korea Selatan, Kim Hyo Joo menerusi playoff untuk merangkul kejuaraan utama keduanya.

Ariya muncul pemain pertama Thailand memenangi kejuaraan itu apabila dia mencatat par pada lubang keempat tambahan di Shoal Creek selepas terdahulu berkongsi kedudukan dengan Hyo Joo dengan 11 bawah par 277 keseluruhan.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, triple bogey pada lubang ke-10 par-empat, yang mana pukulan pertamanya masuk kolam, mengendurkan keyakinannnya namun dia berazam menggunakan peluang kedua ketika playoff.

“Sembilan lubang terakhir itu amat menyeksakan,” kata Ariya, yang memenangi kejuaraan utama sulungnya pada Terbuka Wanita British 2016.

“Selepas saya mendahului tujuh pukulan tapi berakhir dengan playoff, saya bagai tidak mengharap kerana agak bengang sedikit dengan catatan pada sembilan lubang terakhir.

“Saya memberitahu (diri sendiri) saya akan memastikan melakukan yang terbaik, kerana saya tidak bertindak baik dalam sembilan lubang terakhir. Saya mempunyai peluang untuk membanggakan diri sendiri.”

Mendahului tujuh pukulan berbaki sembilan lubang, Ariya sepatutnya berarak meraikan kemenangan namun sebaliknya apabila dia bergelut dengan playoff yang mendebarkan.

Kedua-duanya masih terikat selepas lubang kedua tambahan, yang mana ia pasti berakhir dengan sudden-death.

Ariya kemudian melakukan dua pukulan menakjubkan dari bunker, pertamanya untuk menyamakan kedudukan pada lubang ketiga tambahan sebelum menang pada lubang berikutnya.

Hyo Joo berada di ambang muncul pemain kelapan Korea memenangi kejuaraan itu dalam tempoh 11 tahun terakhir. Dia pemain kedua Korea tewas aksi playoff semalam selepas An Byeong Hun kalah kepada Bryson DeChambeau pada Kejohanan Memorial dalam Jelajah PGA di Dublin, Ohio.

Ariya membawa pulang AS$900,000 (RM3.6 juta) berikutan kemenangan itu dan dijangka melonjak dari tangga kelima ke kedudukan kedua dalam ranking dunia.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 11:17am
d