arena

Hanya Hamidin hantar borang pengesahan

Oleh Aziman Rosdi

KETIKA dua pencabarnya masih teragak-agak untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), calon pilihan Datuk Hamidin Mohd Amin pula tampil mengesahkan pencalonan.

Setiausaha Agung FAM itu sudah memberikan persetujuan dengan menyerahkan semula borang pengesahan Jumaat lalu kepada Pemangku Presiden Datuk Yusoff Mahadi manakala bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi masih belum mendapat ‘ilham.’

“Saya sudah menyerahkan borang pengesahan pencalonan kepada dua calon berkenaan (Annuar dan Azim) namun mereka meminta sedikit masa lagi untuk membuat keputusan sebelum tarikh akhir 14 Jun ini.

“Nampak dua calon ini tidak dapat menjawab dengan pasti dan mahu ambil masa untuk berfikir manakala Hamidin pula sudah mengesahkan untuk bertanding dengan menghantar semula borang itu Jumaat lalu,” katanya.

Pemilihan jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-54, 14 Julai depan menarik apabila Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Azim daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Kerusi panas itu dikosongkan susulan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang diterima Exco FAM pada 2 April lalu.

Jika Annuar dan Azim membuat keputusan menarik diri, maka Hamidin akan diumumkan sebagai presiden baru FAM pada 14 Jun ini.

“Kami akan buat pengumuman Hamidin menang tanpa bertanding pada 14 Jun ini andai dua lagi calon menarik diri. Tapi secara rasmi lantikan itu hanya boleh dilakukan pada Kongres 14 Julai depan,” kata Yusoff.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 12:01pm
d