arena

Janji kutip tiga mata

Oleh Izzali Ismail

KEDAH tidak mahu mempersiakan peluang kedua memburu tiga mata apabila melayan kunjungan Kelantan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman esok.

Ketua Jurulatih Skuad Lang Merah, Nidzam Adzha Yusoff berkata, skuadnya bertekad bangkit dengan keazaman memastikan tiga mata milik Kedah kali ini selepas kecewa melepaskan peluang yang ada Jumaat lalu.

“Kekecewaan akibat kekalahan pada perlawanan lalu perlu kita ubati segera dengan mendapatkan tiga mata di laman sendiri kali ini selepas hasrat Kedah untuk melonjak ke tempat ketiga dalam Liga Super Malaysia 2018 minggu lalu tidak menjadi kenyataan.

“Kita sedar harapan yang diletakkan oleh seluruh penyokong Kedah yang mengharapkan kemenangan dengan kedudukan lebih baik bagi skuad Lang Merah, akan kita perjuangkan sebaik mungkin,” katanya.

Nidzam berkata, beliau juga akan mengenal pasti kelemahan pada perlawanan menentang Melaka United dan melakukan usaha terbaik untuk aksi seterusnya.

Kedah yang menjalani latihan malam di Stadium Mini Peremba, Alor Setar, tetap bersemangat menghadapi perlawanan seterusnya dan kekalahan 0-2 kepada Melaka United menjadi pengajaran serta panduan terbaik untuk terus bangkit dengan aksi sebenar seterusnya.

Menurut Nidzam, sedikit kesilapan memang memberi kesan dalam keputusan perlawanan dan beliau yakin pasukannya sudah melepasi tempoh masa yang ‘sukar’.

“Kita terima keputusan itu dan kita mampu kembali dengan prestasi sebenar selepas ini dengan corak lebih berkesan.

“Apa yang perlu adalah tekad dan keazaman yang tinggi daripada semua pemain untuk beraksi dengan baik bagi memburu kemenangan serta mempertahankan maruah pasukan di laman sendiri.

Kedah kini berada di tangga keempat dengan mencatatkan enam kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan dengan jumlah keseluruhan 21 mata,

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 3:13pm
d