arena

Kecilkan kontinjen Sukan Asia?

Oleh Jumiati Rosly

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak menolak kemungkinan mengecilkan

jumlah ahli kontinjen negara ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini berbanding penyertaan pada temasya terdahulu di Incheon.

Mengesahkan perkembangan baharu itu, presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata ia selaras dengan pendekatan baru yang dilakukan menerusi peningkatan kriteria pemilihan.

“Walaupun (kriteria pemilihan baru) akan menimbulkan perasaan tak puas hati di kalangan persatuan, namun kita beranggapan secara jelasnya kita beritahu kekangan yang kita hadapi.

“Dan sekiranya dapat peruntukan lebih, mungkin kita akan pertimbangkan mereka yang tidak layak untuk ke kategori A,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Terakhir ke Sukan Asia Indonesia di Wisma MOM, di sini hari ini.

Pada mesyuarat hari ini, MOM memaklumkan kriteria pemilihan atlet ke Sukan Asia kini diperketatkan.

Untuk layak disenaraikan mengikut kategori A iaitu perbelanjaan ditanggung sepenuhnya, atlet perlu berada pada kedudukan ranking empat terbaik berbanding enam sebelum ini.

Atlet yang gagal memenuhi kriteria itu bagaimanapun berpeluang disenaraikan mengikut kategori B iaitu perbelanjaan perlu ditanggung persatuan sukan terbabit dan hanya akan dibayar semula jika berjaya memenangi pingat.

Sebagai rekod, kontinjen negara menghantar seramai 277 atlet ke Sukan Asia di Incheon sebelum ini.

Pada temasya berkenaan, negara hanya mampu membawa pulang lima emas, 14 perak dan 14 gangsa sekali gus dianggap pencapaian terburuk setakat ini.

Norza berkata pendekatan konservatif dengan menaikkan kriteria pemilihan itu juga memberi indikasi kepada persatuan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada kerajaan sahaja untuk menghantar atlet ke temasya seperti itu.

“Kita tengok persatuanlah kerana ada persatuan cakap tak cukup masa untuk mereka mendapatkan duit (jika diletakkan dalam kategori B),” katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 6:07pm
d