arena

TRW sambar 3 import baharu

Oleh BERNAMA

KOTA BHARU: Selepas mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil langkah membawa masuk pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan itu untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya sedang dalam proses membawa masuk tiga pemain import bagi memperkukuhkan pasukan untuk beraksi dalam baki perlawanan Liga Super musim ini.

"Sehingga kini, kita mengesahkan seorang pemain import dari Kyrgyzstan, iaitu Bakhtiyar Duyshobekov akan bermain di posisi tengah manakala dua lagi pemain masih menunggu pengesahan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tiga pemain import baharu itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain import sebelum ini, iaitu Mohammad Ghaddar (penyerang dari Lubnan), Do Dong Hyun (penyerang dari Korea Selatan) dan Morgaro Gomis (pemain tengah dari Perancis) yang digugurkan akibat kecederaan dan bergelut dengan prestasi.

Kedudukan tercorot pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super kini, mendapat reaksi kurang senang pelbagai pihak yang bimbang dengan kemungkinan pasukan itu terpaksa beraksi dalam Liga Perdana musim depan.

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 6:52pm
d