arena

'Jad Noureddine masuk, Cornthwaite bersara'

IPOH:Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bertindak menukar pemain import selepas pemain bek tengah Robert Cornthwaite mengalami kecederaan.

Setiausaha Kehormat PAFA, Ahmad Shahrul Azhar berkata pihaknya memilih pemain kebangsaan Lubnan, Jad Noureddine bagi menggantikan Cornthwaite dari Australia.

Katanya, pertukaran itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak pengurusan dan jurulatih.

"Apabila mendapat laporan Cornthwaite tidak dapat pulih dalam masa terdekat, persatuan berbincang dan memutuskan menggantikan beliau dengan pemain pertahanan dari Lubnan.

"Ini kuota Asia dengan tempoh tamat perpindahan pemain semalam, kami perlu membuat keputusan menggantikan Cornthwaite," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jad, 26, berkata walaupun tidak pernah beraksi dalam liga bola sepak Malaysia beliau tetap yakin mampu memberikan yang terbaik buat The Bos Gaurus.

"Dalam bola sepak, kami menyasarkan impian yang sama, berikan yang terbaik dan teruskan kemenangan,” katanya.

Pemain kelahiran Kherbet Selem, Lubnan itu akan bergandingan dengan Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim dan Idris Ahmad bagi menguatkan lagi benteng pertahanan Perak.

Selepas mengharungi 13 perlawanan liga, Perak kini berada di tangga ketiga di belakang Pahang dan Johor Darul Ta'zim selaku pendahulu.

-- BERNAMA

Disiarkan pada: June 4, 2018 @ 10:44pm
d