arena

Lewandowski ketuai skuad Poland

Oleh AFP

WARSAW: Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski mengetuai senarai 23 pemain Poland bagi Piala Dunia di Russia, namun kecederaan dialami pertahanan Kamil Glik menyebabkan pengurus Adam Nawalka bimbang.

Glik, 30, tonggak utama benteng Poland, cedera bahu selepas tarikh akhir FIFA bagi menamakan skuad muktamad, semalam.

“Ketika sesi latihan, Kamil Glik mengalami kecederaan ligamen bahu,” menurut kenyataan persekutuan bola sepak Poland.

Pertahanan AS Monaco itu menjalani ujian awal di Poland, namun akan berlepas ke Nice hari ini untuk menjalani rawatan lanjut sebelum satu keputusan dibuat mengenai pemulihannya dengan harapan kembali berlatih sepenuh masa.

“Dia kekal dalam senarai kami. Kami menanti keputusan ujian itu,” kata jurucakap persekutuan Jakub Kwiatkowski.

Jika kecederaan Glik ternyata serius, dia akan digantikan oleh pemain Stuttgart, Marcin Kaminski, menurut Nawalka.

Sebelum berlepas ke Russia pada 13 Jun ini, Poland menghadapi perlawanan pemanas badan menentang Chile di Poznan awal pagi Sabtu ini dan Lithuania di Warsaw empat hari kemudian.

Di Russia, Poland membuka kempen Kumpulan H menentang Senegal di Moscow pada 19 Jun sebelum berdepan Colombia dan Jepun.

Skuad Piala Dunia Poland

Penjaga gol: Bartosz Bialkowski (Ipswich Town/ENG), Lukasz Fabianski (Swansea/ENG), Wojciech Szczesny (Juventus/ITA)

Pertahanan: Jan Bednarek (Southampton/ENG), Bartosz Bereszynski (Sampdoria/ITA), Thiago Cionek (SPAL/ITA), Kamil Glik (Monaco/FRA), Lukasz Piszczek (Borussia Dortmund/GER), Artur Jedrzejczyk (Legia Warsaw), Michal Pazdan (Legia Warsaw)

Tengah: Jakub Blaszczykowski (Wolfsburg/GER), Jacek Goralski (Ludogorets Razgrad/BUL), Kamil Grosicki (Hull/ENG), Grzegorz Krychowiak (West Brom/ENG), Rafal Kurzawa (Gornik Zabrze), Karol Linetty (Sampdoria/ITA), Slawomir Peszko (Lechia Gdansk), Maciej Rybus (Lokomotiv Moscow/RUS), Piotr Zielinski (Napoli/ITA)

Penyerang: Dawid Kownacki (Sampdoria/ITA), Robert Lewandowski (Bayern Munich/GER), Arkadiusz Milik (Napoli/ITA), Lukasz Teodorczyk (RSC Anderlecht/BEL)

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 8:30am
d