arena

Azzurri, Orange sama kental

Oleh Reuters

TURIN, Itali: Nathan Ake menjaringkan gol dua minit sebelum tamat buat Belanda untuk mencetus keputusan seri 1-1 dengan tuan rumah Itali pada perlawanan persahabatan awal pagi tadi antara dua pasukan terbaik yang tidak layak ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia.

Simone Zaza menampan masuk hantaran lintang Federico Chiesa dari sebelah kanan pada minit ke-67 untuk membantu tuan rumah mendahului selepas mereka mensia-siakan beberapa peluang pada babak pertama.

Zaza berjaya mengatasi kapten Belanda, Virgil van Dijk untuk menyumbat masuk dari jarak dekat.

Namun pertahanan Itali, Domenico Criscito dibuang padang dua minit kemudian selepas dia mengutip kad kuning kedua, membuka peluang kepada Belanda untuk menekan dan mencari gol penyamaan.

Pemain gantian Ake mencuri tumpuan dengan tandukan kencang untuk gol penyamaan pada minit ke-88 dan patut menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi gaya sama.

Itali sepatutnya mendahului selesa sebelum rehat sekalipun kedua-dua pasukan dilihat keletihan.

Penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen melakukan penyelamat hebat daripada percubaan Andrea Belotti dan Simone Verdi.

Pemain tengah Belanda, Rudi Vormer mengeluarkan bola di atas garisan dengan tandukan sejurus sebelum rehat untuk menafikan Bryan Cristante.

Kedua-dua pasukan kini membentuk semula pasukan di bawah jurulatih baru - Roberto Mancini buat Itali dan Ronald Koeman bagi Belanda.

Disiarkan pada: June 5, 2018 @ 8:34am
d