arena

Tenaga muda England mampu meledak

Oleh AFP

BURTON-ON-TRENT, England: Harry Kane menggesa rakan sepasukannya di England melupakan perkara negatif yang membelenggu mereka dalam kempen sebelum ini ketika skuad berwajah baru itu bertekad mencetus impak pada Piala Dunia di Russia.

Kane akan mengetuai pasukan yang lebih muda dengan hanya pertahanan Chelsea, Gary Cahill pernah memiliki lebih daripada 50 penampilan.

England tidak pernah menjuarai kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966 dan penyerang Tottenham, Kane berharap dengan adanya skuad kurang berpengalaman, anak buah Gareth Southgate tidak akan gentar.

“Perkara penting adalah percaya ia boleh memberikan sesuatu yang berbeza,” katanya.

“Ia memang sukar kerana sejak 50 tahun lalu kami tidak pernah menjuarai apa-apa.

“Kami perlu fokus kepada diri sendiri dan tidak memikirkan pasukan sebelum ini.

“Kami adalah pasukan berbeza dengan identiti tersendiri. Kami perlu menikmati kejohanan ini dan tidak sabar untuk mula beraksi.”

Kane bukan saja akan menggalas beban selaku kapten tetapi diharap dapat menjaringkan gol buat England apabila mempamerkan aksi terbaik dengan 41 jaringan musim ini, biarpun mengalami kecederaan ligamen buku lali Mac lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya memerlukan beberapa minggu untuk mendapatkan sentuhan terbaiknya selepas berehat selama tiga minggu.

Namun selepas menamatkan aksi bersama kelab dengan lima gol dalam enam perlawanan, dia turut meraih gol ke-13 antarabangsa ketika England menewaskan Nigeria 2-1 di Wembley, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 9:48am
d