arena

Layan parti liar sebelum ke Piala Dunia

Oleh AFP

MEXICO CITY: Anggota skuad bola sepak kebangsaan Mexico mengadakan parti perpisahan bersama kira-kira 30 pelacur sebelum pasukan itu menuju ke Eropah menjelang Piala Dunia, lapor media tempatan hari ini.

Menurut majalah gosip TVNotas, sembilan anggota skuad Mexico ke Piala Dunia berparti dengan puluhan wanita pengiring di sebuah kawasan persendirian di Mexico City susulan kemenangan 1-0 ke atas Scotland di Stadium Aztec.

Majalah itu memaparkan gambar pemain yang dikaburkan, tiba di parti itu di bawah tajuk ‘Perpisahan sebenar Tri!’.

Bagaimanapun pegawai pasukan Mexico menyatakan mereka yang terbabit tidak akan dikenakan tindakan kerana menyertai parti itu pada hari cuti pasukan.

Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak Mexico, Guillermo Cantu berkata, pemain itu tidak akan dikenakan tindakan kerana ‘mereka bukannya tidak menyertai latihan’.

“Hari cuti adalah hari cuti dan itulah risiko akan berlaku jika diberi kebebasan,” Cantu dilaporkan sebagai berkata.

Antara pemain yang hadir adalah penjaga gol Guillermo Ochoa dan penyerang Benfica, Raul Jimenez.

Dua pemain adik-beradik dari Los Angeles Galaxy, Jonathan dan Giovani dos Santos turut hadir, begitu juga dengan pertahanan Carlos Salcedo dan pemain tengah Marco Fabian, kedua-duanya beraksi buat Eintracht Frankfurt di Jerman.

Skuad Mexico kini berada di Copenhagen yang mana mereka bersiap sedia untuk perlawanan persahabatan menentang Denmark Sabtu ini sebelum berlepas ke Russia.

Kontroversi itu bagaikan mengulangi skandal sama yang membelenggu pasukan itu sejak beberapa tahun kebelakangan.

Pada 2010 pemain Mexico berparti dengan wanita selepas perlawanan di Monterrey. Susulan itu semua yang terbabit didenda manakala pertahanan Efrain Juarez dan penyerang Carlos Vela digantung daripada pemilihan pasukan selama enam bulan.

Pada Jun 2011, tidak lama sebelum kunjungan ke Argentina untuk menyertai Copa America, pemain Mexico melanggan pelacur di sebuah hotel di Quito, Ecuador. Mereka didenda dan digantung daripada pasukan kebangsaan selama setengah tahun.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 10:01am
d