arena

MBBF nafi sembunyi atlet 'kantoi'

Oleh Mohd Khairie Khalid

PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (MBBF) menafikan dakwaan pihaknya menyembunyikan atlet yang melakukan kesalahan penggunaan bahan terlarang daripada pengetahuan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Setiausaha Kehormat MBBF, Kamaruzaman Kadir berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan gejala negatif itu tidak menular dalam kalangan atlet di negara ini.

“Seperti kita maklum, sesiapa yang didapati positif kita akan ambil tindakan. Kita tak pernah sorok mana-mana atlet yang mengambil bahan terlarang.

“Kita sentiasa mengambil tindakan, kita maklumkan kepada ADAMAS dan ADAMAS akan memaklumkan kepada WADA,” kata Kamaruzaman ketika ditemui di Kompleks Sukan Desa Tasik Sungai Besi, hari ini.

Ketika ditanya adakah terdapat atlet bina badan melakukan kesalahan menyertai pertandingan ketika masih di dalam penggantungan, Kamaruzaman berkata, hanya Sazali Samad berbuat demikian.

“Setakat ini, yang kita nampak begitu jelas adalah dia (Sazali), iaitu keluar ke seluruh dunia, orang luar pun memaklumkan kepada kita dan bertanyakan akan hal ini… kalau ada perkara macam ini, kita akan ambil tindakan,” kata Kamaruzaman.

Mengulas mengenai kontroversi penyertaan Sazali menyertai Kejohanan China Sport Show Fearless Bodybuilding Physique & Bikini di Shanghai, China, baru-baru ini, Kamaruzaman menjelaskan ia tidak sepatutnya terjadi.

“Kalau ikutkan peraturan WADA 10.2.1, sewaktu penggantungan dia tidak boleh terbabit dengan mana-mana pertandingan, pertunjukan dan sebagainya.

“Tetapi dia sudah langgar peraturan, penggantungan yang sudah dijatuhkan kepada dia. Kalau ikut WADA memang ada penambahan tetapi kita akan maklumkan nanti,” kata Kamaruzaman yang memaklumkan keputusan kes Sazali dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 5:39pm
d