arena

'Tuah bulan Ramadan'

Oleh Nazri Abu Bakar

 

"DUA saingan di bulan Ramadan setakat ini membuahkan rezeki buat kami," kata kapten pasukan Melaka United (MU), Khairul Fahmi Che Mat ketika mengulas kemenangan pasukan itu mengatasi Kuala Lumpur (KL) 4-3 di Cheras semalam.   

Beliau yang dikenali sebagai Apek berkata, kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kedah 2-0 di Alor Setar minggu lalu dan mengatasi KL dianggap tuah buat pasukan bagi mengutip enam mata, sekali gus melonjak ke kedudukan kelapan liga.   

Katanya, walaupun mengakui KL lebih banyak mendominasi perlawanan, rakan sepasukan bijak mengimbangi pergerakan lawan, sekali gus meledak empat gol untuk meraih kemenangan tipis.   

"KL diakui sebuah pasukan yang baik dan memiliki barisan pemain mantap, namun peluang yang hadir digunakan sebaik mungkin pemain MU membolehkan kemenangan berjaya direkodkan.   

"Dua kemenangan berturut-turut ini pastinya tonik buat kami melayan kehadiran pasukan sama (KL) pada pertemuan di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini, malah sudah pasti kami mahu memperbaiki kesilapan yang berlaku dan dalam masa sama memperkasa persefahaman," katanya.    

Katanya, strategi ketua jurulatih E Elavarasan nyata memberi impak terhadap persembahan pasukan yang mahu diulangi pemain selepas dua kemenangan itu.

"Tahniah buat pasukan, pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain dan peminat setia yang menyokong dan mendorong kebangkitan skuad Hang Tuah.     

"Saya juga mengharapkan persembahan pasukan terus konsisten dalam memastikan MU terselamat daripada zon penyingkiran," katanya.   

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 6:35pm
d