arena

Velodrom Rakyat lulus!

Oleh Azlan Muhammad Zain

PRESIDEN Persatuan Berbasikal Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh menegaskan Velodrom Rakyat di Ipoh boleh digunakan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, September depan.   

"Saya boleh sahkan ia tidak reput (kayu), boleh dipakai dan berada dalam keadaan baik. Sesuatu yang perlu difahami, ia adalah velodrom terbuka, jika ada kayu yang retak atau sebagainya, ia adalah perkara biasa dan boleh ditukar.   

"Bagaimanapun, saya akan mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How esok bagi mendapatkan gambaran sebenar," katanya.   

Howard Lee membuat kejutan semalam, apabila mengumumkan acara trek SUKMA 2018 dibatalkan apabila mendakwa velodrom berkenaan tidak selamat.   

Beliau dilaporkan berkata terdapat lantai yang reput dan ada bahagian yang sudah terjungkit serta terdapat serpihan.   

Amarjit yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menjelaskan, pertemuan esok adalah bagi memahami bagaimana beliau mendapat gambaran berkenaan adalah bahaya dan pihak yang memberi nasihat kepadanya.   

"Ketika lawatannya, tiada seorang wakil PCA atau PKBM bersama, hanya bersama pihak sekreteriat," jelasnya.  

Tambahnya, velodrom berkenaan masih belum diserahkan secara rasmi oleh kontraktor kerana terdapat penambahan yang perlu dilakukan dan keadaan persekitaran pasti lebih baik selepas itu.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 10:28pm
d