arena

'Abang long' atasi PKNS FC

Oleh Syafiq Aznan

SELANGOR membuktikan betapa mereka layak bergelar ‘Abang Long’ selepas menundukkan pasukan adik, PKNS FC 2-1 pada aksi ‘Tetangga Selangor’ di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.

Gol pada setiap babak membolehkan skuad bimbingan Nazliazmi Nasir meraih kelebihan psikologi menjelang aksi separuh akhir Piala FA yang menemukan pasukan dua beradik itu pada 23 dan 30 Jun ini.

Keputusan ini sekali gus menyaksikan skuad Semut Merah terus kempunan melakar kemenangan dalam empat perlawanan dan sekadar mengutip dua mata dengan tiga mata terakhir dipungut mereka ialah ketika bertemu Kuala Lumpur di laman sendiri pada 13 Mei lalu.

Pada aksi terbabit, skuad Merah Kuning itu tidak menunggu lama untuk memperolehi gol pembukaan apabila kegagalan Shahril Saa’ri menangkap kemas percubaan Ilham Udin Armaiyn pantas disambar Rufino Segovia untuk gol ke-12 dalam saingan Liga Super musim ini seawal minit keenam.

Bagaimanapun, kesilapan pemain Selangor yang kehilangan bola di kawasan tengah membolehkan PKNS FC melancarkan serangan yang disudahkan menerusi rembatan kencang penyerang kebangsaan, Safee Sali untuk gol penyamaan ketika separuh masa pertama berbaki tiga minit.

Ketiadaan Rufino pada babak kedua yang dikeluarkan dipercayai akibat kecederaan nyata merencatkan jentera serangan Selangor apabila kehilangan penyudah di dalam kotak penalti meskipun berjaya merencana beberapa serangan pada separuh masa kedua.

Begitupun, berpunca daripada sepakan percuma PKNS FC yang ditepis Khairul Azhan, Evan Dimas melakukan gerakan solo daripada bahagian tengah padang dan penyudah kemasnya gagal ditepis Shahril untuk Selangor kembali mendahului permainan pada minit ke-60.

PKNS FC cuba membalas menerusi gerakan daripada bahagian sayap kanan dan hantaran lintang yang dilakukan berjaya ditanduk Rafael Ramazotti namun hanya cukup menggegar palang sebelum percubaan susulan sempat dikeluarkan pertahanan Selangor lima minit berselang.

PKNS FC terus mengasak pada lima minit terakhir dan ketangkasan Khairul Azhan berjaya menafikan percubaan jauh Romel Ramirez pada minit akhir perlawanan untuk kemenangan 2-1 berpihak kepada tuan rumah.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 12:40am
d