arena

Santos pening 'susun' Portugal

Oleh Reuters

LISBON: Jurulatih Portugal, Fernando Santos masih bimbang memikirkan barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang pasukan tetangga, Sepanyol.

Jurulatih itu yang mengemudi kejayaan Portugal menjulang trofi Euro 2016 di Perancis dua tahun lalu turut mengesahkan Cristiano Ronaldo akan turun dalam kesebelasan utama menentang Algeria pada perlawanan persahabatan terakhir mereka hari ini.

Ronaldo, pemain Portugal dengan penampilan dan jaringan terbanyak, terlepas aksi latihan dan perlawanan persahabatan menentang Tunisia dan Belgium selepas beraksi buat Real Madrid pada final Liga Juara-Juara berdepan Liverpool akhir bulan lalu.

“Perkara sama berlaku sebelum Euro 2016 membabitkan Ronaldo dan Pepe apabila mereka beraksi dalam final Liga Juara-Juara,” kata Santos.

“Ronaldo sudah pasti akan menyertai kesebelasan utama.”

Seramai 10 pemain daripada skuad Euro 2016 tidak akan ke Russia, sama ada berikutan kecederaan atau kemerosotan prestasi di peringkat kelab dan Santos berkata, memilih pasukan jauh lebih sukar berbanding dua tahun lalu.

“Banyak yang saya fikirkan, saya mempunyai 23 pemain dan yakin terhadap mereka,” kata beliau.

“Masih ada seminggu lagi, kita lihat apa akan berlaku sewaktu latihan.

“Sudah tentu pasukan ini mempunyai asas permainan tersendiri dan beberapa pemain semakin hampir menyertai kesebelasan utama namun tidak wajar pada peringkat ini untuk meramalkan 11 pemain itu kerana semuanya masih belum pasti.”

Portugal akan menentang Sepanyol di Sochi pada 15 Jun ini dalam kumpulan yang turut disertai Maghribi dan Iran.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 10:18am
d