arena

Tunggu Yusri buat keputusan

Oleh Attirmidzie Rahman

DESAKAN penyokong serta bekas pemain Kelantan yang mahukan bekas kapten Badhri Radzi diberi peluang kedua beraksi bersama pasukan musim ini bergantung kepada kemahuan jurulatih.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pasukan yang dikendalikan jurulatih sementara, Yusri Che Lah mempunyai perancangan membabitkan pemain sedia ada serta pemain import baharu.

“Mengenai Piya ini bergantung kepada jurulatih... biar kita serahkan kepada Yusri apa yang ada dalam perancangannya buat pasukan,” katanya yang enggan mengulas lanjut ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, bekas pemain Kelantan, Anuar Rajib meminta persatuan itu memberi peluang kedua kepada Badhri untuk kembali beraksi bersama pasukan.

Berdasarkan pengalaman pemain berusia 36 tahun itu, Rajib yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) yakin kudrat pemain itu masih boleh digunakan terutama dalam membimbing skuad muda The Red Warriors (TRW).

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani memaklumkan mengenai perkembangan dua awang import baharu pasukan, Cristiano Santos dari Brazil serta Madhu Mohana dari Singapura yang dibawa pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) baru-baru ini.

Katanya, Cristiano yang bertindak di posisi penyerang itu sudah mendapat ‘lampu hijau’ dan akan bersama pasukan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 12:08pm
d