arena

'Kami mahu 5 pemain lagi...'

Oleh Jumiati Rosly

PENGURUS Cardiff City, Neil Warnock bercadang membeli lima pemain bagi memperkuatkan cabaran kelab itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/2019 yang disingkap tirainya, Ogos depan.

"Banyak laporan media yang membuat spekulasi siapa pemain yang akan kami tandatangani. Kami berharap dapat memutuskan perkara ini menjelang hujung minggu depan," katanya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Ketika ditanya siapakah pemain yang menjadi tumpuan, beliau berkata: "Semua orang mungkin cuba mendapatkan pemain yang sama (tidak boleh dedahkan). Saya mencari pemain yang boleh menyertai pasukan sedia ada dan perlu berwaspada untuk tidak mendapatkan pemain yang salah."

Warnock yang baru menghabiskan cuti di Pulau Redang bersama keluarganya dan pemilik kelab, Tan Sri Vincent Tan berkata, dia mahukan keseimbangan pemain dalam pasukannya itu nanti menggunakan peruntukan yang tidak melampau.

"Kami mempunyai sesuatu (kekuatan pemain) yang anda sendiri boleh rasakan sesuatu petanda yang baik. Anda boleh rasakan akan dapatkan keputusan baik.

"Saya tahu ia sukar untuk dicapai tetapi saya tidak sabar untuk menempuhi cabaran yang ada," katanya.

Sementara itu, Vincent berkata sebelum ini beliau mempunyai masalah dengan pengurus, Malky Mackay yang membimbing pasukan pada kempen 2013-2014 dengan mendakwa pengurus itu membelanjakan terlalu banyak peruntukan bagi mendapatkan beberapa pemain.

"Kami mahu lebih berhati-hati dalam mendapatkan pemain yang kita mahukan. Membelanjakan wang yang banyak bukan bermakna boleh mendapatkan keputusan yang bagus dan itu tidak terjadi ketika ini," katanya.

Cardiff bertahan semusim sahaja dalam kempen 2013-2014 sebelum berjaya melayakkan diri semula dalam liga berprestij itu untuk musim 2018/2019.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 8:39pm
d