arena

Lenggok Rashford pukau Southgate

Oleh AFP

LEEDS, England: Pengurus England, Gareth Southgate mengakui Marcus Rashford menyukarkannya membuat keputusan menjelang Piala Dunia apabila pemain itu meledak gol menakjubkan ketika menang 2-0 ke atas Costa Rica pada perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Dalam perlawanan terakhir England sebelum aksi pertama kejohanan menentang Tunisia dalam tempoh 11 hari lagi, pemain Manchester United itu muncul bintang dalam skuad hampir berwajah baru di Leeds.

Danny Welbeck turut menemui sasaran pada minit ke-76 ketika England melebarkan catatan tanpa kalah kepada 10 perlawanan, berlanjutan hampir setahun.

“Apa yang paling menggembirakan saya adalah Marcus Rashford seronok bermain bola malam ini. Dia bermain dengan lenggok tersendiri,” kata Southgate.

Rashford menggunakan kesempatan berikutan ketiadaan kapten England, Harry Kane apabila dia bermula di bahagian serangan di samping Jamie Vardy dan membuktikan apa yang mampu dilakukannya dengan rembatan mengagumkan dari jarak 25 ela yang menggegar penjuru gol seawal minit ke-13.

“Saya berlatih menjaringkan gol setiap hari dalam latihan dan apabila ia hadir pada perlawanan sebenar, ia satu ganjaran,” kata Rashford.

Rashford melalui penamat sukar pada hujung musim di United, menjaringkan hanya empat gol pada 2018 di peringkat kelab dan beberapa kali dikritik pengurus Jose Mourinho.

Bagaimanapun, Southgate menegaskan pemain berusia 20 tahun itu perlu meluahkan perasaannya dan perlu diberi kebebasan melakukan kesilapan.

“Dia berdepan penamat musim yang sukar sesudah bermain secara berseorangan sebagai pemain nombor 9 beberapa kali. Dia masih mentah, kami kadangkala lupa berapa usianya,” ujar Southgate.

“Saya katakan kepada semua pemain sebelum perlawanan, saya jangkakan kesilapan malam ini dan jika tidak, mungkin ada masalah kerana kami tidak mungkin boleh menyerang seperti yang kami kehendaki.

“Mereka akan membuat kesilapan, tapi mereka juga mungkin menampilkan sekilas lalu gol seperti Marcus. Gol itu bertaraf dunia.”

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 8:19am
d