arena

Guedes buat Ronaldo tenggelam

Oleh Reuters

LISBON: Penyerang Portugal, Goncalo Guedes semakin menunjukkan taringnya dalam skuad Piala Dunia dengan meledak dua gol menerusi kemenangan selesa 3-0 ke atas Algeria pada aksi pemanas badan terakhir mereka awal pagi tadi.

Pemain berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang tepat pada masanya sehari selepas jurulatih Fernando Santos berkata, beliau masih bimbang membuat pilihan skuad utamanya untuk perlawanan pembuka tirai menentang Sepanyol pada 15 Jun ini.

Juara Eropah itu turut berdepan Iran dan Maghribi dalam aksi peringkat kumpulan manakala Algeria yang mara ke pusingan kedua pada 2014, gagal menempah tiket ke Russia.

Portugal bermula garang dan Cristiano Ronaldo, yang beraksi dalam perlawanan pertama sejak final Liga Juara-Juara pada 26 Mei lalu, dibatalkan jaringannya apabila pemain itu dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.

Guedes dengan sembilan penampilan dan satu gol sebelum perlawanan itu, meletakkan Portugal di depan seawal minit ke-17 selepas William Carvalho melakukan hantaran jauh melepasi pertahanan Algeria yang disambut tandukan Bernardo Silva ke arah pemain itu.

Ronaldo membantu jaringan kedua pada minit ke-37 apabila meluru ke sayap kiri dan melakukan hantaran tepat yang ditanduk masuk Bruno Fernandes untuk gol antarabangsa pertamanya.

Gerakan serupa turut mencetuskan gol ketiga apabila Raphael Guerreiro meluru ke sayap kiri dan disambut Guedes dengan tandukan tepat pada minit ke-55.

Pertahanan Portugal yang dilihat kurang bermaya dalam perlawanan terdahulu, berjaya menyekat ancaman Algeria dan penjaga gol Rui Patricio hanya menyelamatkan satu percubaan daripada pemain gantian Baghdad Bounedjah.

“Ada perkara bagus dan banyak yang perlu diperbaiki tapi 20 minit pertama memang amat baik,” kata Santos yang enggan mendedahkan mengenai kesebelasan utamanya.

“Semua 23 pemain sedia untuk beraksi, itu yang paling penting.”

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 8:41am
d