arena

Juve aktifkan klausa miliki Costa

Oleh AFP

MILAN: Juara Serie A, Juventus mengesahkan semalam mereka sudah mengaktifkan klausa pembelian bernilai 40 juta euro (RM188 juta) sekali gus membolehkan pemain sayap Douglas Costa yang dipinjam dari Bayern Munich berpindah secara tetap ke kelab Itali itu.

Pemain berusia 27 tahun itu awalnya berpindah ke Turin secara pinjaman dengan harga 6 juta euro (RM28 juta) pada musim panas tahun lalu dengan pilihan 40 juta euro untuk membelinya.

Pemain Brazil itu antara tonggak utama skuad kendalian Massimiliano Allegri ketika kelab itu melengkapkan kejuaraan ketujuh Serie A berturut-turut dan kejuaraan Piala Itali keempat berturut-turut.

“Juventus sudah melaksanakan pilihan untuk mendaftar Douglas Costa dari Bayern Munich dengan harga 40 juta euro yang dibayar dalam dua tahun kewangan,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.

“Juventus dan pemain ini menandatangani kontrak hingga 30 Jun 2022.”

Juventus menegaskan, kelab juara Jerman itu mungkin dibayar tambahan 1 juta euro (RM4.7 juta) bergantung kepada persembahan Costa selepas ini. Costa menjaringkan enam gol dalam 47 perlawanan kompetitif ketika musim sulungnya di Itali.

Dia menyertai Bayern dari Shakhtar Donetsk dengan harga 30 juta euro (RM141 juta) pada 2015, namun bergelut untuk mengulangi musim sulung hebatnya pada kempen 2016-17 sebelum berpindah ke Itali.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 10:35am
d