arena

Quaye gagal sertai PKNP

Oleh Azizan Hashim

IMPIAN skuad Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC untuk menurunkan pemain import baharu, Alfred Okai Quaye ketika menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, malam esok berkecai.

Ini kerana, mereka menghadapi masalah mendaftarkan pemain dari Ghana itu selepas berdepan ‘masalah teknikal’. Berikutan itu, PKNP FC terpaksa meneruskan baki saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan hanya menggunakan tiga pemain import sedia ada.

Quaye sepatutnya menggantikan pemain kelahiran Chad (Afrika), Karl Max Dany yang cedera sebelum sempat beraksi, ketika PKNP FC turun menentang Pahang di Ipoh, pada 2 Jun lalu.

Berikutan itu PKNP FC berusaha mendapatkan pengganti sehari sebelum tarikh tutup jendela perpindahan kedua pada 3 Jun. Walaupun dikatakan sudah mendaftar penyerang baharu itu, tetapi malangnya pendaftaran tidak berjaya.

"Kami kena tunggu kepulangan Dany dan berharap dia pulih daripada kecederaan,” kata pengendali, Abu Bakar Fadzim.

Bagi Bakar, PKNP FC kini terpaksa akan bergantung sepenuhnya kepada trio import, Ritus Krjauklis, Franklin Clovic Anzite dan Kim Sangwoo untuk meneruskan saingan musim ini.

"Keadaan sama menimpa kami sekali lagi apabila kurang satu pemain import daripada kouta dibenarkan. Kali ini kami ada empat pemain daripada lima tetapi hanya boleh guna tiga," katanya.

Bagaimanapun keadaan itu tidak mematahkan semangat Bakar yang bertekad meneruskan usaha mengekalkan kelab itu dalam saingan Liga Super musim 2019.

"Saya akan ketengahkan pemain tempatan yang mempunyai semangat juang kental. Usaha itu sudah dimulakan dalam perlawanan menentang Terengganu Selasa lalu apabila menurunkan dua pemain Piala Presiden.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 7:09pm
d