arena

Peluang Sterling pamer keupayaan

Oleh AFP

SELEPAS melakar musim cemerlang sepanjang kariernya, Raheem Sterling kini diberikan tugas dan tanggungjawab yang diimpikannya oleh pengurus England Gareth Southgate untuk mengetengahkan potensinya di Piala Dunia.

Sterling menjaringkan 23 gol dalam semua kejohanan ketika Manchester City menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris dengan memecah rekod dan menjulang Piala Liga.

Namun masih ada ruang untuk pemain itu memastikan bahawa penyudahnya mampu setanding dengan kualiti skil dan pergerakannya.

“Saat dia mampu meningkatkan jumlah jaringan gol akan menjadikannya salah seorang pemain terhebat dunia kerana dia memiliki segala-galanya,” kata jurulatih City Pep Guardiola.

“Dia seorang pejuang, seorang yang dinamik, pemain yang bagus dan dia perlu meningkatkan permainannya.”

Untuk membuktikan perkara itu, Sterling tidak pernah menjaringkan gol dalam 20 perlawanannya bersama England sejak 2015.

Sterling juga terpaksa berdepan dengan publisiti buruk yang berterusan daripada sesetengah media Inggeris, sering membabitkan isu di luar padang.

Dilayan seperti kambing hitam ketika beberapa aksi hambar England yang berkesudahan dengan penyingkiran di tangan Iceland pada pusingan kedua Euro 2016, Sterling menggelarkan dirinya ‘Yang Dibenci’ di Instagram ketika kejohanan itu.

Baru-baru ini dia menjadi tumpuan kerana tatu raifal M16 di kakinya.

Laluan Sterling ke puncak ternyata bukan sesuatu yang mudah. Dilahirkan di Kingston Jamaica, Sterling menjelaskan bahawa tatu itu dibuat untuk mengenang bapanya yang dibunuh ketika dia berusia dua tahun.

“Saya fikir anda melihat seorang lelaki yang berani dan membuktikan kemampuannya dalam perlawanan utama,” kata rakan sepasukan Sterling di City dan England, Fabian Delph. 

“Dari aspek dedikasi, dia adalah salah seorang daripada pemain bola sepak paling berdedikasi pernah saya temui. Etika kerjanya menakjubkan, dia mempunyai keinginan memperbaiki diri dan usianya baru 23 tahun.

“Saya fikir Piala Dunia ini adalah pentas terbesar untuknya membuktikan apa yang mampu dilakukannya.”

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 9:12am
d