arena

Vettel sambar petak utama

Oleh AFP

SEBASTIAN Vettel meraih petak depan pertama untuk Ferrari pada Grand Prix Kanada manakala pemandu Mercedes, Lewis Hamilton akan memulakan saingan di petak keempat.

Vettel, yang ketinggalan 14 mata di belakang Hamilton buat pertama kali akan bermula di petak depan di Litar  Gilles Villeneuve selepas merakam masa terpantas satu minit 10.764 saat pada sesi kelayakan terakhir, semalam.

Hamilton yang memburu rekod ketujuh bermula di petak utama di GP Kanada ini sejak kejayaan sulung muncul juara pada 2007 turut terlepas catatan terpantas di tangan rakan sepasukan, Valtteri Bottas yang menempah petak depan bersama Vettel. Lebih menarik kesemua empat pelumba di petak depan dipisahkan dengan 11 saat antara satu sama lain.

“Saya sudah melakukan kerja saya dengan betul. Semalam memang ada sedikit masalah. Saya tidak puas hati dengan kereta, ada masalah dan saya tidak dapat kepantasan yang sepatutnya,” kata Vettel.

“Hari ini saya teruskan lagi. Saya rasa ia hari yang sempurna. Kereta saya menakjubkan, ia sangat pantas, meskipun pada pusingan terakhir saya melakukan kesilapan, tetapi ia menang jentera yang hebat.”

Pelumba Red Bull, Max Verstappen, yang berpeluang muncul pelumba paling muda berada di petak depan F1 menguasai tiga sesi latihan bebas tetapi akhirnya pelumba berusia 20 tahun dari Belanda itu puas hati berada di petak ketiga.

“Setakat ini saya puas hati dengan catatan ini. Kereta ini memang terbaik...petak ketiga sesuatu yang amat besar bagi kami. Saya fikir boleh lakukan lebih baik pada perlumbaan sebenar nati,” kata Verstappen.

Hamilton pula akan memburu kemenangan keempatnya di sini untuk menyamai pencapaian Michael Schumacher yang menang tujuh kali di GP Kanada.

“Ia sesi yang sangat sukar semalam. Semua pusingan di litar ini menang mencabar,” katanya.

“Catatan masa semuanya bagus semalam, begitu juga dengan catatan sepusingan pada sesi kelayakan cuma hari ini saya gagal mendapatkan masa terpantas. Ferrari melakukan kerja yang cemerlang hari ini dan itulah hasilnya.”

Seorang lagi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen akan bermula di petak kelima bersebelahan dengan pelumba  Red Bull, Daniel Ricciardo, yang menjuarai GP  Monaco dua minggu lalu dan kelihatan bersemangat untuk menafikan kemenangan Hamilton di sini.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 8:26am
d